Pernah disenarai hitam JPJ, pemandu lori mula bekerja kembali
Pemandu lori yang mendapat perhatian Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong selepas berkongsi keluhan di media sosial apabila disenarai hitam oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana kerap menerima saman akibat membawa lebih muatan, telah kembali bekerja bermula Rabu lalu.
S Arumugam, 42, telah diterima bekerja di sebuah syarikat pengangkutan lori kargo sebaik lesen memandu kompeten (CDL) dan lesen memandu kenderaan barangan (GDL) miliknya diperbaharui semula selama tempoh lima tahun.
Isterinya, R Puvaniswari, 41, berkata, suaminya telah dihantar bertugas ke Pelabuhan Kuantan, Pahang pada 14 April lalu dan berada di sana dalam tempoh beberapa minggu.
“Kami sekeluarga sangat bersyukur dengan keadaan ini, nampak yang suami sangat gembira apabila dia sudah boleh mula bekerja kembali.
“Dia janji kepada kami untuk bekerja bersungguh-sungguh dan bawa banyak duit supaya anak-anak dapat hidup lebih baik,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Gunung Cheroh di sini pada Sabtu.
Menurutnya, sebelum ini walaupun dalam keadaan lesen digantung, bapa kepada empat anak berusia lingkungan 18 hingga 9 tahun itu terpaksa meneruskan kerja membawa lori mengangkut muatan demi menyara mereka sekeluarga.
“Anak-anak masih bersekolah dan kami juga menjaga bapa berusia 71 tahun yang telah uzur, jadi dia tiada pilihan lain dan curi-curi bawa lori dalam keadaan tiada lesen.
“Jika tidak kami tiada sumber pendapatan untuk makan dan belanja sekolah anak-anak,” katanya.
Puvaniswari berkata, ketika suaminya tidak dapat bekerja dahulu, pernah beberapa kali dia memasak satu hidangan dan disimpan untuk dimakan dalam tempoh tiga hari kerana ketiadaan wang untuk membeli barangan keperluan harian.
Malah mereka juga kerap meminjam wang daripada adik-beradik dan saudara bagi menampung keperluan hidup.
“Suami saya sedih dan kecewa dengan keadaan itu, mungkin sebab itu dia upload video di Facebook meluahkan rasa kesal,” katanya.
Video berdurasi 2.54 saat itu dimuat naik Arumugam pada akhir Mac lepas yang antara lain merayu kepada pihak berkuasa agar tidak menyenaraihitamkan lesen miliknya bagi membolehkan dia bekerja.
Dia turut berkongsi telah memiliki banyak saman atas kesalahan membawa lori lebih muatan yang bukan atas kehendaknya tetapi syarikat tempatnya bekerja.
Perkongsian itu menarik perhatian Ka Siong yang kemudiannya membantu proses memperbaharui lesen Arumugan.
Ka Siong turut menarik perhatian JPJ untuk mengkaji semula tindakan saman terhadap pemandu yang membawa lebih muatan kerana ia membawa kesan buruk apabila saman tidak dapat dijelaskan oleh mereka dan terpaksa disenaraihitamkan.
Puvaniswari menerima kunjungan MCA Perak diketuai Ketua Pusat Perkhidmatan dan Biro Pengaduan MCA Perak, Low Guo Nan.
Guo Nan berkata, pihaknya akan meneliti bantuan lain yang diperlukan keluarga itu, termasuklah penyambungan bekalan air bersih selepas dimaklumkan keluarga berkenaan terpaksa mengambil air dari kawasan kuil yang berhampiran sebagai keperluan air mereka.
“Kita juga akan buat semakan permohonan bantuan yang bersesuaian kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya. – SH