Permohonan UPUOnline sesi 2025/2026 dibuka mulai 10 Februari

Permohonan UPUOnline sesi 2025/2026 dibuka mulai 10 Februari
Permohonan kemasukan pelajar bagi sesi akademik 2025/2026 melalui platform UPUOnline akan dibuka mulai 10 Februari hingga 14 Mac 2025 untuk Fasa Pertama.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan berkata, Fasa Kedua akan dibuka dari 14 April hingga 18 Mei depan.
Katanya, permohonan berkenaan adalah bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf, yang ingin melanjutkan pengajian ke program asasi, sijil, diploma dan ijazah sarjana muda di 20 Universiti Awam (UA), 36 Politeknik, 106 Kolej Komuniti serta dua institusi di bawah MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (BPT).
“Bagi Fasa Pertama, semua program pengajian boleh dipohon manakala Fasa Kedua hanya membuka permohonan untuk program tidak membabitkan temu duga atau ujian.
“Pembelian Nombor Pin UPUOnline boleh dilakukan melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) bermula 9 Februari ini.
“Pemohon boleh membeli nombor pin berkenaan di 350 cawangan BSN, 700 mesin ATM BSN, atau melalui perbankan internet myBSN.
“Slip pembayaran perlu disimpan sebagai bukti pembelian yang sah,” katanya.
Sehubungan itu, KPT menjemput semua calon berkelayakan memanfaatkan peluang berkenaan kerana 350 program pengajian ditawarkan kepada lepasan SPM, manakala 1,131 program disediakan untuk lepasan STPM atau setaraf di institusi seluruh negara.
Sebarang pertanyaan boleh dirujuk kepada Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA di Jabatan Pendidikan Tinggi atau boleh menghubungi talian 03-86842363 atau alamat e-mel [email protected].