Perempuan simpanan diperintah bayar isteri RM200,000 kerana rosakkan rumah tangga 50 tahun

Perempuan simpanan diperintah bayar isteri RM200,000 kerana rosakkan rumah tangga 50 tahun
Mahkamah Tinggi di sini, memerintahkan seorang wanita berusia 38 tahun dinamakan sebagai responden bersama dalam tuntutan pemisahan kehakiman, membayar ganti rugi RM200,000 kepada seorang suri rumah kerana merosakkan rumah tangga menjangkau lima dekad.
Hakim Evrol Mariette Peters turut memerintahkan suami berusia 74 tahun, yang diputuskan melakukan hubungan luar nikah, membayar nafkah sebanyak RM205,000 secara sekali gus kepada isterinya berusia 72 tahun.
Suami itu menafikan berlaku curang dan mendakwa mengalami masalah mati pucuk, lapor portal berita FMT.
Peters juga mengarahkan aset perkahwinan pasangan itu dibahagikan sama rata.
Suami dikenali sebagai PAI dan perempuan simpanannya digelar KAI, turut diperintahkan membayar sejumlah RM100,000 sebagai kos kepada isteri yang dirujuk sebagai HAI.
Peters berkata, keterangan, walaupun mengikut keadaan, menggambarkan naratif yang kuat dan koheren mengenai hubungan luar nikah antara suami dan perempuan simpanannya.
Beliau berkata, terdapat keterangan bahawa mereka berkongsi kediaman, suami bermalam di kediaman perempuan simpanan itu, mereka berkongsi tempat tinggal di Singapura, serta percubaan untuk hamil menerusi persenyawaan in vitro (IVF) dan pengakuan yang dibuat oleh suami kepada isteri.
Peters menolak pembelaan suami itu bahawa dia tidak mampu melakukan hubungan seksual.
“Sepanjang perbicaraan, dia mendakwa masalah mati pucuknya menyebabkan tiada lagi hubungan seksual dengan isterinya, dan dia tidak mungkin terbabit dalam hubungan luar nikah dengan perempuan simpanannya,” katanya dalam penghakiman.
Peters berkata, yang penting suami itu gagal memberikan sebarang keterangan sokongan, seperti laporan perubatan, testimoni pakar, atau sebarang dokumentasi menyokong, untuk mengesahkan dakwaannya mengalami mati pucuk, atau jika benar, tahap keterukannya.
Suami itu juga memberikan alasan keputusannya untuk meneruskan IVF didorong oleh masalah mati pucuk, dan akibatnya, ketidakupayaan untuk menghamilkan perempuan simpanannya secara semula jadi.
Peters berkata, tiada korelasi automatik antara keupayaan melakukan hubungan seksual dan ketidakupayaan menghamilkan seorang wanita.
Katanya, hakikat bahawa seorang lelaki tidak dapat menyebabkan seseorang wanita mengandung tidak semestinya bermaksud dia tidak mampu melakukan hubungan seksual.
Hakim memerintahkan perempuan simpanan itu membayar ganti rugi dan kos, memutuskan bahawa dia tahu mengenai komitmen dan tanggungjawab lelaki tersebut terhadap keluarganya, yang menjadikan tindakannya lebih merisaukan.
“Dengan meneruskan hubungan luar nikah (dengan lelaki itu), perempuan simpanan itu mendedahkan beliau langsung tidak mengendahkan kesejahteraan emosi isteri (lelaki itu),” katanya.
Peters berkata, e-mel antara si suami dengan perempuan simpanannya mendedahkan wanita itu secara aktif mendesaknya menceraikan isterinya, tambah menjejaskan kestabilan perkahwinan itu.
“Usaha perempuan simpanan itu mengandungkan anak lelaki tersebut melalui IVF, menunjukkan niatnya untuk mewujudkan hubungan yang kekal dan tidak boleh diputuskan dengan lelaki itu,” katanya.
Peters berkata, beliau enggan menggunakan pendekatan feminis dalam pengagihan aset perkahwinan, kerana keputusan itu akan berisiko mewujudkan gambaran berat sebelah.
“Persepsi ini akan melemahkan prinsip asas kesaksamaan, yang menjadi pusat kepada pentadbiran keadilan,” katanya.
Bagaimanapun, hakim tetap memberikan separuh nilai aset perkahwinan kepada si isteri, yang menurutnya pengagihan adil kerana wanita itu mengorbankan kerjayanya, dan sebarang hak untuk mendapat gaji atau dividen daripada perniagaan keluarganya.
Beliau berkata, dedikasi si isteri yang tidak berbelah bahagi terhadap kebajikan keluarganya adalah satu lagi pertimbangan penting.
“(Usaha) membesarkan enam anak dan menyara tiga cucu selama ini memerlukan masa, tenaga dan komitmen yang besar,” katanya.
Hakim berkata, turut dikemukakan keterangan menunjukkan bahawa isteri menjaga suaminya ketika dia tidak sihat.
Pasangan itu berkahwin pada 1977 dan tidak dinafikan isteri banyak berkorban untuk menyokong kejayaan profesional dan perniagaan suami, kata Peters.
Walaupun mempunyai kelulusan diploma dalam pengajian perniagaan, isteri memilih melepaskan cita-cita profesionalnya demi menjadi suri rumah, manakala suaminya selama ini mencapai kejayaan mengasaskan beberapa perniagaan yang membuktikan kepintarannya sebagai usahawan, kata hakim.
Si isteri mendakwa pada September 2022, si suami mengakui hubungan dengan perempuan simpanannya.
Sebulan kemudian, si isteri memfailkan petisyen pemisahan kehakiman dan menuntut nafkah. Dia meminta separuh daripada nilai semua harta alih dan tak alih, yang terkumpul dalam tempoh perkahwinan mereka.
Wanita itu juga berusaha untuk mempertanggungjawabkan perempuan simpanan suaminya atas peranannya menyebabkan keruntuhan perkahwinan yang tidak dapat dipulihkan.