Kubur pasangan suami isteri digali dan dipindahkan kerana perbezaan politik
Kubur pasangan suami isteri digali dan dipindahkan kerana perbezaan politik
Dua buah kubur milik pasangan suami isteri yang terletak di Kelurahan Dannuang, Kabupaten Bulukumba digali semula dan dipindahkan selepas pemilik tanah perkuburan terbabit tidak berpuas hati dengan pilihan anak pasangan itu pada Pemilihan Kepala Daerah 2024 (Pilkada).
Pengalian dan pemindahan lokasi tanah perkuburan itu dilakukan oleh warga setempat pada Jumaat lalu.
Pusara itu merupakan milik Mattayang Daeng Lengu dan isterinya Nurlia. Nurlia dimakamkan pada 13 Mac 2023 sementara Mattayang telah dimakamkan pada 27 Julai 2023.
Mayat kedua-duanya kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Awam di Desa Majalling.
Pihak pentadbiran Desa Manjalling bersetuju menerima pemindahan itu demi mengelak berlakunya konflik yang berpanjangan.
Sementara itu, Timbalan Bupati Bulukumba, Andi Edy Manaf telah bertemu dengan anak pasangan itu iaitu Nurmi bagi mendengar penjelasan daripadanya.
“Kejadian ini adalah pengajaran untuk kita semua, saya harap insiden ini tidak akan berlaku lagi pada masa hadapan,” katanya kepada wartawan pada Sabtu.
Beliau turut berharap agar isu ini tidak diperbesarkan dan dapat diselesaikan secara baik.
Dalam pada itu, ahli politik dari Parti Amanat Nasional (PAN) meminta supaya penduduk Bulukumba untuk saling menghormati dan tidak membiarkan perbezaan politik memecahbelahkan hubungan persaudaraan. – Agensi