“Ini aib aku la gila” – Penyanyi rap dakwa pegawai PBT rakam dirinya hanya bertuala di pusat urut
“Ini aib aku la gila” – Penyanyi rap dakwa pegawai PBT rakam dirinya hanya bertuala di pusat urut
Penyanyi rap Zamaera mendakwa pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) merakam dirinya secara rahsia ketika mendapatkan khidmat urut di sebuah premis di Selangor.
Zamaera atau nama lengkapnya Sharifah Zamaera Al Edros Syed Zafilen, 29, berkata, pegawai berkenaan memasuki kawasan tempatnya berurut dan merakam video dirinya yang hanya dibalut tuala.
“Semasa sedang mendapatkan urutan, sudah semestinya saya tidak berpakaian melainkan hanya mengenakan pakaian dalam.
“Selepas 15 minit, saya terdengar lelaki buat bising. Apabila saya keluar, saya dapati 10 hingga 15 orang pegawai PBT sedang merakam kejadian dalam premis itu.
“Pada awalnya, saya ingin selesaikan secara baik dan meminta mereka padam video tetapi tiada seorang pun mengaku ada merakam video sekali gus membuatkan saya marah,” katanya dalam aplikasi X.
Dalam masa sama pelantun lagu Big Fish itu turut mempersoalkan prosedur operasi standard (SOP) yang sepatutnya dijalankan pihak pegawai yang terlibat.
“Kalau betul ini SOP, mana pegawai wanita yang boleh mengendalikan kes berkenaan.
“Sebagai pegawai, awak masuk premis mengurut pasti buat pengumuman keberadaan kalian tetapi dia nak soal siasat saya kerana lemparkan fitnah mengambil video saya.
“Bahagian mana dalam menceroboh privasi pelanggan dengan merakam mereka dalam keadaan tidak berpakaian boleh dianggap beretika?,” soalnya.
Difahamkan, selepas kejadian Zamaera sudah membuat laporan polis dan berjumpa dengan pihak atasan PBT pagi tadi.
Selain itu, anak jati Selangor itu turut meluahkan rasa kurang selamat walaupun berada di negara sendiri.
“Sebagai wanita, saya rasa tak selamat dan mahu rasa dilindungi dalam komuniti sendiri.
“Macam mana perkara tersebut berlaku kepada isteri atau anak perempuan kalian?,” tuturnya lagi.
Pun begitu, Zamaera mahukan penjelasan dan permohonan maaf daripada pegawai terlibat dan berharap orang ramai lebih berhat-hati selepas ini.
“Saya cuma nak kenyataan daripada pihak PBT yang menyatakan salah laku mereka dan mahu pegawai memohon maaf kepada saya atas kesalahan menggunakan kuasa.
“Perkara tersebut akan membuatkan orang ramai lebih percaya dengan pegawai dan harap kejadian sama tak akan berulang.
“Saya juga mahu pihak PBT senaraikan SOP berkaitan kes ini supaya orang ramai lebih sedar sekiranya terjerat dalam situasi sama.
“Semoga kalian tidak berhadapan kejadian seperti saya,” jelasnya.
@al_boeboes Raid masuk rumah urut berlesen, semua officer lelaki, selak2 tirai bilik sambil record. Bila tanye semua senyap, boleh plak tanye ape yg tak senonoh? Yg tak senonoh tu engkau la. Bawak la officer wanita.