Penyanyi rap Malaysia ditahan di Laos, cuba seludup lebih 100 bungkusan ganja ke Jerman

Penyanyi rap Malaysia ditahan di Laos, cuba seludup lebih 100 bungkusan ganja ke Jerman
Penyanyi rap tempatan antara tiga rakyat Malaysia dipercayai ditahan pihak berkuasa Laos atas dakwaan cubaan menyeludup dadah jenis ganja sebanyak 103 bungkusan ke Jerman.
Berdasarkan foto yang dikongsi media Laos dipercayai salah seorang suspek itu adalah anggota kumpulan rap yang berasal dari Johor Bahru.
Kesemua suspek ditahan sejak 27 Mei lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay menerusi operasi yang dilakukan pegawai kastam dan pihak keselamatan selepas mendapati tiga individu terbabit menimbulkan kecurigaan semasa prosedur pemeriksaan dijalankan.
Hasil pemeriksaan terhadap enam beg bagasi milik suspek, pihak berkuasa menemui 103 bungkusan ganja yang disembunyikan dalam bagasi berkenaan dengan anggaran berat kira-kira 86 kilogram.
Difahamkan ketiga-tiga suspek sedang bersedia untuk menaiki penerbangan Thai Airways dalam perjalanan ke Jerman sebagai destinasi akhir penghantaran dadah tersebut.
Pihak berkuasa mengesahkan bahawa suspek kini dalam tahanan dan akan menghadapi pendakwaan mengikut prosedur undang-undang Laos.
Rampasan terbaharu ini berlaku susulan beberapa kejadian penyeludupan dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay sejak kebelakangan ini.