Dua penyamun sempat ambil nasi lemak, sandwich sebelum larikan wang tunai RM241

Dua penyamun sempat ambil nasi lemak, sandwich sebelum larikan wang tunai RM241

 

Dua penyamun sempat ambil nasi lemak, sandwich sebelum larikan wang tunai RM241

Polis menahan dua lelaki selepas menyamun kedai serbaneka 24 jam di Subang Jaya, Selangor dengan melarikan nasi lemak, sandwich dan wang tunai RM241.

Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, kejadian berlaku pada pukul 1.50 tengah hari pada Jumaat.

Jelas Azlan mengenai kejadian itu, seorang pekerja lelaki berusia 29 tahun didatangi dua lelaki di mana salah seorang masuk ke kaunter bayaran dan memaksanya menyerahkan wang hasil jualan.

“Suspek mengambil beg silang mangsa yang mengandungi dokumen peribadi, kunci kedai dan kunci motosikal yang disimpan di bawah meja kaunter.
“Suspek juga mengambil dua bungkus nasi lemak dan dua bungkus sandwich lalu melarikan diri menyebabkan kerugian RM260.

“Susulan itu, antara pukul 8.45 malam hingga 9.30 malam hari sama, pihak polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Subang Jaya, menahan dua lelaki berusia 23 dan 24 tahun serta merampas barang kes di rumah suspek di Subang Jaya,” katanya pada Ahad.

Tambah Azlan, semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah.

Hasil siasatan dapati kedua-dua suspek datang dengan berpakaian baju hujan dan bertopi keledar.

Beliau berkata, suspek direman lima hari bermula Ahad hingga 4 November (Rabu) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian ini supaya tampil menyalurkan maklumat dan memberikan kerjasama kepada pihak polis melalui nombor telefon 03-78627222 (Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya).

Selain itu, orang awam juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Fathurrahman Ampandi di talian 011-29395178.