Penjawat awam luah kesal terjebak Forex sampai hutang ratusan ribu ringgit, sekali ada ‘plot twist’!
Penjawat awam luah kesal terjebak Forex sampai hutang ratusan ribu ringgit, sekali ada ‘plot twist’!
Walaupun sudah difatwakan haram, forex tetap masih mempunyai peminat tersendiri yang mahu mengautkan keuntungan mudah meskipun berisiko tinggi.
Baru-baru ini, seorang individu tanpa nama telah berkongsi kisahnya sebagai penjawat awam yang berkecimpung dalam dunia forex sehingga sanggup berhutang ratusan ribu ringgit menerusi hantaran di grup Facebook Muflis Bankrupt di Malaysia.
Difahamkan pada dia terjebak dengan forex apabila diperkenalkan oleh saudaranya sendiri pada 15 tahun lalu.
Oleh kerana mendapati baki gaji yang banyak dan hanya ada satu komitmen pinjaman kereta, individu terbabit mula berjinak melakukan dagangan dengan bermula jumlah deposit dari RM1,000 sehingga melarat ke puluhan ribu.
Tetapi tindakan melulu melakukan dagangan tanpa sebarang ilmu memakan diri apabila wang deposit sebesar RM5,000 boleh hilang sekelip mata menerusi akaun forex dalam tempoh sejam sahaja.
Pejam celik pejam celik, bertahun alami kerugian dan tidak perna merasa keuntungan setakat ini ditambah pula dengan beberapa kali tunggakan hutang.
Agak mengejutkan, dia sudah membuat pinjaman beratus ribu ringgit dengan harapa boleh ‘flip’ duit menerusi dagangan forex. Sampai satu tahap dia cuba beberapa kali mengundur diri dari dunia forex.
Bagaimanapun, dia menegas benda forex ini sudah menjadi satu ketagihan apabila sudah terjebak dan tidak boleh berpatah balik semula.
Akui dirinya merasa kesal tapi memang pilihan sendiri dan sudah dinasihati untuk berhenti oleh kenalan rapat.
Ingatkan sudah insaf, nampaknya ada ‘plot twist’ di penghujungnya apabila dia masih meneruskan kegiatan dagangan dalam platform forex.
Dakwanya, alasan berbuat sedemikian kerana mahu mendapatkan semula wang yang pernah hangus sebelum ini. Dengan pengalaman sedia ada, beberapa tahun selepas itu dia tekad mengkaji pasaran, belajar dari kesilapan sebelum ini dan perbaiki teknik.
Kini sudah mendapat rentak dalam meraih keuntungan dengan modal yang rendah. Malah, dia mendedahkan gajinya sudah tidak terusik lagi dan boleh membayar komitmen bulanan dengan duit keuntungan.
Dia sempat menitipkan pesanan kepada orang ramai untuk tidak mengendahkan kata-kata orang lain dan teruskan saja apa yang diri rasa betul. Secara tidak langsung, dia seakan cuba mempromosi Forex sebagai satu solusi dalam melepaskan belenggu hutang buat individu di luar sana.
Perkongsian individu ini langsung mengundang pelbagai reaksi daripada netizen. Rata-ratanya meluahkan rasa bengang kerana individu terbabit seolah-olah mengajak orang yang terdesak atau bergelar muflis untuk mencuba forex selepas melihat kejayaannya.
Sebahagian lain pula turut berpendapat pelaburan dalam forex lebih bergantung kepada nasib sekaligus boleh dikira sebagai perjudian.
Dalam pada itu, ada yang mendakwa pemikiran yang selalu merasakan dirinya betul seperti individu di atas selalunya akan membinasakan diri di kemudian hari lebih-lebih lagi apabila terjebak dengan aktiviti yang salah di sisi syarak.