Mengaku salah lakukan kelucahan melampau, hukuman penjara PU Azman bertambah 14 bulan lagi

Mengaku salah lakukan kelucahan melampau, hukuman penjara PU Azman bertambah 14 bulan lagi

 

Mengaku salah lakukan kelucahan melampau, hukuman penjara PU Azman bertambah 14 bulan lagi

Pendakwah selebriti, PU Azman terpaksa meringkuk lebih lama dalam tirai besi selepas dijatuhi hukuman penjara 14 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan kelucahan melampau terhadap remaja lelaki dua tahun lalu.

Majistret Amirul Asyraf Abd. Rasid menjatuhi hukuman itu selepas PU Azman dengan nama sebenarnya Azman Syah Alias, 43, mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Hukuman penjara diperintahkan berjalan bermula hari ini.

Sebelum ini, PU Azman dihukum penjara 24 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Klang selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap remaja lelaki berusia 17 tahun pada 27 September lalu.

PU atau lebih dikenali sebagai Cik Man didakwa melakukan perbuatan kelucahan melampau terhadap remaja lelaki lain berusia 19 tahun di sebuah rumah di Jalan Sungai Bertek kira-kira pukul 9.15 malam, 10 Jun lalu.

Kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 377d Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun.

Peguam Fahmi Adilah dalam mitigasinya memaklumkan anak guamnya seorang duda yang telah insaf dan menyesal atas perbuatannya selain berjanji kepada mahkamah untuk menjadi seorang warganegara yang baik dan berguna.

Katanya, tertuduh sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 27 September lalu atas sabitan kesalahan amang seksual.

“Anak guam juga memohon maaf kepada pengadu terlibat, kerajaan Malaysia khususnya Polis Diraja Malaysia dan mahkamah yang mulia ini kerana mengambil masa ketika perbicaraan berlangsung (sebelum representasi diterima Jabatan Peguam Negara).
“Pengakuan salah ini didorong oleh faktor keinsafan tertuduh. Justeru dengan rendah diri dan harapan yang tinggi berharap mahkamah memberikan hukuman yang minimum,” ujarnya.

Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Adzmi menegaskan, sebagai seorang pendakwah selebriti, perkara tersebut tidak sepatutnya dilakukan terhadap pengadu.

“Pengakuan salah bukan salah satu sebab untuk diberikan diskaun (hukuman) kepada tertuduh.
“Faktor keringanan hukuman yang ringan bukan faktor mitigasi yang boleh dipandang enteng oleh mahkamah sebaliknya perlu mengambil kira keseriusan kesalahan dan kepentingan awam,” tegasnya.