“Saya menyesal..” – Bakar motosikal, peniaga pisang goreng sebak mengaku bersalah

“Saya menyesal..” – Bakar motosikal, peniaga pisang goreng sebak mengaku bersalah

 

“Saya menyesal..” – Bakar motosikal, peniaga pisang goreng sebak mengaku bersalah

“Saya mengaku bersalah. Saya menyesal, Yang Arif,” kata peniaga pisang goreng yang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan khianat menggunakan api dengan membakar sebuah motosikal di Pokok Assam, di sini, Khamis lalu.

Tertuduh, Zainatul Rafeda Zainul Abidin, 43, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim yang kemudian menetapkan tarikh 14 Januari depan untuk jatuh hukum sementara menunggu fakta kes.

Terdahulu, tertuduh kelihatan sebak ketika dibawa dari lokap ke mahkamah menuju kamar bicara dan sekali lagi dilihat sebak ketika mengaku bersalah di dalam kandang tertuduh.

Beberapa ahli keluarga tertuduh yang menghadiri prosiding itu turut dilihat sebak sebaik saja tertuduh membuat pengakuan itu.

Mengikut kertas pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan khianat menggunakan api, dengan pengetahuan akan menyebabkan kerosakan harta berupa sebuah motosikal jenis Honda RSX berwarna hitam yang bernilai RM7,000 milik Zainatul Shakira Amira Zaini, 22, di Jalan Masjid, Pokok Assam, di sini, kira-kira jam 3.50 petang 26 Disember lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara hingga 14 tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fahmi Kamaluddin, manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ng Wei Jun.

Muhammad Fahmi menawarkan ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin, selain syarat tidak mengganggu dan menghubungi mangsa yang juga pengadu kes itu hingga kes selesai.

Ketika mitigasi, Wei Jun berkata, anak guamnya yang juga peniaga pisang goreng dan apam balik hanya memperoleh pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan dan menyara empat anak, manakala suami tertuduh mengalami strok sebelah badan.

Justeru, Wei Jun memohon agar jumlah ikat jamin itu dikurangkan, selain mengambil kira bahawa anak guamnya bersedia mematuhi syarat tambahan yang ditawarkan pihak pendakwaan dan tiada risiko untuk tertuduh melarikan diri.

“Ini juga adalah kesalahan kali pertama yang saya buat,” kata Zainatul Rafeda ketika hakim memberi peluang kepadanya untuk bercakap ketika mitigasi hukuman itu.

Nabisha kemudian menetapkan ikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang diminta oleh pihak pendakwaan.

Sebelum ini, media melaporkan seorang peniaga wanita membakar sebuah motosikal di Jalan Masjid pada Khamis lalu kerana berang apabila motosikalnya mahu ditarik.

Dalam kejadian itu, rakaman video yang tular menunjukkan berlaku sedikit kekecohan apabila beberapa lelaki dipercayai penarik kenderaan, ingin menarik sebuah motosikal milik peniaga di situ.

Berdasarkan rakaman video tular itu, difahamkan pembiayaan motosikal berkenaan sudah lama tertunggak tetapi pemiliknya enggan memberi kerjasama apabila kenderaan itu hendak ditarik.

Dalam kekecohan itu, seorang wanita dilihat mencurahkan petrol ke atas sebuah motosikal jenis Honda RSX sebelum membakarnya.