Peniaga kosmetik ditahan, aset hampir RM1 juta disyaki hasil edar dadah disita

Peniaga kosmetik ditahan, aset hampir RM1 juta disyaki hasil edar dadah disita
Polis Terengganu menyita tiga kereta, wang tunai serta pelbagai barangan kemas bernilai RM981,500 yang disyaki hasil daripada kegiatan pengedaran dadah.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata ia susulan penahanan seorang lelaki tempatan bersama rampasan dadah jenis syabu seberat 1.02 kilogram bernilai RM32,000 Isnin lalu.
Beliau berkata, suspek berusia 35 tahun yang juga peniaga kedai kosmetik ditahan dalam serbuan di sebuah premis tidak beroperasi di Kampung Paya Keladi di sini, kira-kira 8.40 malam.
“Aset yang disita termasuk Toyota Alphard, Mini Cooper Countryman dan Range Rover, wang tunai berjumlah RM7,700, serta beberapa barangan kemas seperti gelang tangan, rantai leher dan gelang kaki emas.
“Hasil pemeriksaan terhadap tubuh suspek menemukan satu plastik hijau mengandungi dadah jenis syabu seberat 1.02 kilogram, dipercayai untuk edaran kepada kira-kira 6,000 penagih di daerah Kuala Terengganu,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Mohd Khairi berkata, siasatan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Bagaimanapun, ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Nimetazepam.
“Suspek kini direman tujuh hari bermula kelmarin (Selasa) hingga Isnin ini (5 Mei). Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan,” katanya.
Beliau berkata siasatan masih dijalankan bagi mengesan rangkaian sindiket yang masih bebas.