Peniaga Malaysia boleh ikut cara Thailand gunakan ‘oil spinner’ buang lebihan minyak
Pisang goreng merupakan satu menu cukup menyelerakan. Bukan saja di Malaysia, malah ia turut dinikimati di negara-negara serantau seperti Indonesia, Singapura dan Thailand.
Menu yang cukup menyelerakan itu memerlukan pisang yang dicampurkan dengan adunan batter kemudiannya digoreng dalam minyak panas.
Tekstur batter yang membuatkan pisang goreng itu rangup di luar serta kelembutan buah itu sendiri menjadikan ia satu snek yang cukup sempurna untuk dinikmati oleh sesiapa saja.
Namun begitu, snek itu boleh dianggap sebagai ‘tidak sihat’ kerana penggunaan minyak yang banyak dalam menggorengnya.
Ia menjadikan sesetengah pihak yang menjaga pemakanan lazimnya akan memilih untuk tidak menikmatinya walaupun pisang goreng sebuah snek menyelerakan.
Akan tetapi di Thailand, pembuatan pisang goreng sudah berada di tahap yang berbeza dengan mereka menggunakan teknologi untuk menyingkirkan minyak berlebihan dalam snek tersebut.
Peniaga pisang goreng di Thailand menggunakan oil spinner untuk mengeluarkan minyak yang berlebihan selepas pisang digoreng di kuali.
Selepas pisang digoreng di kuali, ia akan dipindahkan ke dalam oil spinner. Pisang-pisang tersebut akan diputar dengan kelajuan tinggi untuk mengeluarkan minyak berlebihan. Minyak yang berlebihan itu kemudiannya diasingkan di bahagian lain sebelum pisang tersebut dijual kepada pelanggan.
Cara itu dilihat membantu menjadikan pisang goreng snek yang lebih sihat dan boleh dinikmati oleh semua orang tanpa rasa bersalah kerana makan makanan berminyak dalam kadar yang banyak.