Peniaga didakwa beri suapan kepada pembantu penguat kuasa KPDNHEP
Seorang peniaga baja dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan memberi rasuah kepada seorang penjawat awam berjumlah lebih RM30,000 tiga tahun lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Lee Soon Teck, 52, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu selepas dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Hokkien di hadapan Hakim S Indra Nehru.
Mengikut kertas pertuduhan, Soon Teck didakwa secara rasuah memberi suapan iaitu wang tunai RM30,150 kepada seorang ejen kerajaan iaitu pembantu penguat kuasa, Muhammad Fithry Hassan yang bertugas di Ibu Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Putrajaya.
Tindakan itu dilakukan tertuduh sebagai dorongan bagi melepaskan daripada diambil tindakan undang-undang kerana menyimpan baja bersubsidi tanpa lesen mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. di premis Guan Choon, Batu 6, Jalan Baru, Parit Buntar pada kira-kira jam 10.30 pagi, 8 Oktober 2018.
Susulan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun, didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Bagi pertuduhan pilihan, pendakwaan dikemukakan atas pertuduhan sama mengikut Seksyen 214 yang memperuntukkan hukuman dipenjara tidak melebihi 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahida Jalaluddin, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohd Irfan Arshad.
Indra Nehru kemudian membenarkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Taiping sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 22 Julai hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes. – BH