“Saya ni lelaki kak” – Peniaga burger kena marah panggil suami pelanggan ‘sayang’

“Saya ni lelaki kak” – Peniaga burger kena marah panggil suami pelanggan ‘sayang’

 

“Saya ni lelaki kak” – Peniaga burger kena marah panggil suami pelanggan ‘sayang’

Setiap peniaga pasti mempunyai strategi tersendiri untuk memikat hati pelanggan.

Selain menawarkan produk berkualiti serta harga berpatutan, salah satu elemen yang membuatkan pelanggan tertarik adalah sikap peniaga itu sendiri.

Begitu juga dengan seorang peniaga burger ini yang dikenali kerana keramahannya, namun tanpa disangka ia mengundang rasa kurang senang sesetengah pihak.

Menerusi satu perkongsian di TikTok, peniaga burger yang dikenali sebagai @myulala meluahkan rasa terkilan kerana dimarahi seorang pelanggannya gara-gara menggunakan panggilan ‘sayang’ kepada suami wanita tersebut.

“Kepada akak yang datang kedai saya tadi dengan suami, saya minta maaf kalau tersilap cakap. Saya tak ada niat apa-apa pun.

“Itu memang trademark saya menjual, bukan ada apa-apa pun. Saya mohon maaf sekali lagi,” tulisnya dalam ruangan kapsyen.

Bercerita lebih lanjut, peniaga tersebut  berkata ketika kejadian yang berlaku pada Ahad lalu itu, dia bertanyakan kepada pelanggannya sama ada mahu sayur di diletakkan di dalam burger atau sebaliknya.

“Saya tanya abang tu… sayang, sayang nak sayur tak?. Lepas tu abang tu jawab… haa boleh boleh.

“Isteri dia tengok saya dengan pandangan yang macam air mukanya nak marah.

“Lepas dah siap buat burger, saya beritahu… sayang, siap dah. Isterinya kemudian bangun dan cakap… apa benda awak bersayang-sayang dekat laki orang?” ceritanya.

Terkejut disergah, peniaga lelaki yang dilihat gemar mengenakan alat solek itu berkata dia kemudian tampil membuat penjelasan serta-merta agar tidak timbul sebarang salah faham.

Menurutnya peniaga dari Terengganu itu lagi, membahasakan pelanggan dengan panggilan ‘sayang’ sudah menjadi trademark sejak berniaga dan perkara tersebut difahami oleh rata-rata pelanggan serta pengikutnya di laman sosial.

“Saya jelaskan yang saya memang berbahasa macam tu dengan semua pelanggan. Dia jawab… tak perlu pun bersayang-sayang. Dia tu suami orang.

“Dalam hati saya tertanya-tanya… kenapa akak ni, dia tak pernah tengok aku live ke, tapi saya hanya diam dan minta maaf.

“Suaminya pandang saya macam malu dengan perlakuan isterinya sebelum masuk kereta. Isterinya ambil makanan dan cakap… aku takkan datang dah kedai ni.

“Saya minta maaf kalau akak overthinking. Saya ni lelaki kak, sekali lagi saya minta maaf,” ujarnya lagi.

Menjengah ruangan komen, warga maya tampil dengan reaksi bercampur, dengan ada yang memberikan komen positif selain memberi teguran kepadanya.

“Tak semua orang boleh terima dik. Kalau salah panggil, boleh datang perasaan (suka)… padahal kita tak niat macam tu pun.

“Saya pun panggil sayang dekat customer, tapi lelaki tidaklah. Tapi bagi saya, penjual kena peramah… pelanggan pun suka.

“Adab sebetulnya panggil pelanggan ialah gelaran cik, encik, tuan, puan, abang atau kakak. Tak semua pelanggan terima macam orang lain,” tulis netizen.

Sumber: mStar