Anggota penguat kuasa MBI dakwa ditumbuk ketika operasi sita

Anggota penguat kuasa MBI dakwa ditumbuk ketika operasi sita

 

Anggota penguat kuasa MBI dakwa ditumbuk ketika operasi sita

Operasi penguatkuasaan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) terhadap sebuah restoran di Menglembu di sini, bertukar kecoh selepas seorang anggotanya didakwa ditumbuk individu yang cuba menghalang tindakan sitaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata pihaknya menerima laporan pada jam 6.43 petang Rabu daripada seorang anggota penguat kuasa MBI berusia 40 tahun yang mendakwa menjadi mangsa kejadian berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati provokasi bermula apabila seorang pekerja restoran terbabit tidak berpuas hati dengan tindakan menyita kerusi dan meja premis berkenaan, susulan aduan daripada Jabatan Kesihatan MBI.

“Suspek mengeluarkan kata-kata kesat serta cuba menghalang anggota penguat kuasa daripada menjalankan tugas rasmi.

“Pengadu turut memaklumkan seorang anggota penguat kuasa MBI ditumbuk suspek,” katanya dalam kenyataannya, malam tadi.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 353 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil.

Keterangan beberapa saksi diambil bagi membantu siasatan dan polis minta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan.

Maklumat boleh disalurkan kepada Inspektor Sheikh Fateeha Iman di talian 010-2908095 atau di mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, beberapa video kekecohan yang memaparkan insiden itu tular di media sosial, dipercayai berlaku di sebuah restoran di Taman Rasi Jaya, Menglembu, pagi semalam.

Sementara itu, Ketua WHIP Ahli Majlis MBI, Wong Kar Keat, dalam kenyataannya memaklumkan satu perjumpaan akan diadakan membabitkan Ahli Majlis MBI, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan, Jabatan Penguat Kuasa MBI serta pemilik restoran terbabit bagi memberi penjelasan berhubung kejadian.

Beliau menasihatkan supaya isu berkenaan tidak dikaitkan dengan sentimen perkauman.