Pengkid mengaku lakukan amang seksual terhadap ‘teman wanita’

Pengkid mengaku lakukan amang seksual terhadap ‘teman wanita’
Seorang wanita berperwatakan lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan yang juga ‘teman wanitanya’, sejak pertengahan tahun lalu.
Tertuduh, Nur Farisha Syahaniey Muhamad Shukur, 20, mengaku bersalah bagi kedua-dua pertuduhan itu selepas dibacakan di hadapan Hakim Thalha Bachok @ Embok Mok.
Berdasarkan kedua-dua pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan perbuatan terbabit bagi maksud seksual terhadap remaja yang ketika kejadian berusia 13 tahun tujuh bulan, pada pertengahan 2024 dan Februari lalu di Jalan 2/1, Taman PGPF, Felda Sungai Sibol, Kulai.
Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Fadilah Johanuddin, pada mulanya tidak mencadangkan sebarang jaminan memandangkan kesalahan di bawah seksyen berkenaan adalah tidak boleh dijamin.
Namun, apabila ditanya hakim jika mahkamah mahu memberikan jaminan, berapa jumlah yang ingin dicadangkan pihak pendakwaan, Nor Fadilah mencadangkan jumlah RM20,000 bagi setiap pertuduhan.
Pendakwaan turut mencadangkan syarat tambahan, tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan, lapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali dan pasport antarabangsa hendaklah diserahkan kepada mahkamah sekiranya ada.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudian memohon jaminan yang lebih rendah antara RM2,000 hingga RM5,000 atas alasan tidak mampu membayar jaminan yang tinggi.
“Saya perlu menjaga adik-adik saya yang semuanya masih bersekolah. Keluarga saya ada masalah, jadi saya kena bantu keluarga. Sebelum ditahan, saya kerja sebagai operator kilang dengan gaji pokok RM1,500,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM11,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan berserta tiga syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 28 April depan bagi fakta dan hukuman.