Pengguna X lebih pintar berbanding pengguna TikTok, Facebook

Pengguna X lebih pintar berbanding pengguna TikTok, Facebook

 

Sebuah kajian baru-baru ini dari Reuters Institute telah mendedahkan sesuatu yang menarik tentang perbezaan tahap pendidikan dan cerdik pandai netizen di media sosial X (dahulunya Twitter) dan TikTok.

Kajian yang melibatkan lebih daripada 93,000 responden dari 48 negara termasuk Malaysia ini mendapati bahawa pengguna media sosial X lebih berpendidikan tinggi berbanding pengguna TikTok.

Malah, pengguna X juga dianggap lebih ‘cerdik’ berbanding netizen di media sosial lain.

Menurut kajian tersebut, 49% daripada netizen X mempunyai latar belakang pendidikan tinggi, menjadikan media sosial tersebut sebagai antara yang ‘terpaling berpendidikan’.

Youtube pula berada di tangga kedua dengan 39% penggunannya adalah mereka yang mempunyai ijazah pendidikan tinggi.

Bagaimanapun netizen di media sosial TikTok dan Facebook berada di senarai paling bawah dengan hanya 37% pengguna yang mempunyai latar belakang pendidikan tinggi.

Ini mungkin mengejutkan bagi sesetengah pihak, terutamanya kerana populariti TikTok yang semakin meningkat dalam kalangan golongan muda.

Kajian ini juga menyentuh tentang perbezaan demografi pengguna antara platform.

TikTok sering dikaitkan dengan kandungan ringan seperti hiburan, tarian, dan trend viral, yang menarik ramai pengguna muda.

Sebaliknya, X lebih dikenali sebagai platform untuk perbincangan isu semasa, politik, dan berita, yang sering memerlukan pengguna yang lebih berpengetahuan.

Namun persoalan utama kajian ini adakah pengguna X betul-betul lebih ‘pintar’, atau adakah platform ini lebih menarik minat individu yang cenderung kepada perbincangan intelektual?

YouTube yang berada di tangga kedua pula menawarkan pelbagai jenis kandungan, dari hiburan ringan hingga kemahiran pendidikan dan dokumentari yang lebih mendalam.

Sebaliknya, Facebook dan TikTok berada di bahagian bawah, yang mungkin disebabkan oleh pendekatan kedua-dua platform yang lebih mesra hiburan dan interaksi sosial yang lebih santai.