Penggali kubur meninggal dunia dalam liang ketika urus jenazah bekas imam

Penggali kubur meninggal dunia dalam liang ketika urus jenazah bekas imam
Seorang penggali kubur meninggal dunia ketika sedang menguruskan pengebumian jenazah seorang bekas imam di Kampung Padang Kala, Melor, di sini.
Halim Mat Razi, 55, dipercayai tidak sedarkan diri ketika berada dalam liang untuk menyambut jenazah bekas Imam Masjid Mukim Padang Kala, Zakaria Abdullah, 75, yang meninggal dunia pagi semalam.
Anak sulung Halim, Nurul Aina Natasya Halim, 24, berkata dia mengetahui kejadian menimpa bapanya itu selepas dihubungi melalui telefon oleh rakan sekampung.
Ketika itu, dia dan suami, Mohd Anuar Sa’adan, 31, dalam perjalanan ke Gombak, Selangor untuk mengambil ibu saudara sebelum pulang beraya ke Kelantan.
“Ayah dikatakan turun dalam liang untuk sambut jenazah imam, kemudian tidak sedarkan diri dan bersandar pada dinding liang.
“Penduduk bawa keluar ayah dan bawa ke Klinik Kesihatan Peringat sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di klinik itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Kala.

Halim Mat Razi, 55 (foto kecil) meninggal dunia ketika sedang menguruskan pengebumian jenazah seorang bekas imam di Kampung Padang Kala, Melor.
Nurul Aina Natasya berkata, hasil laporan perubatan bapanya dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung dan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Kala, tanah perkuburan sama dengan imam jam 9.49 malam tadi.
Katanya, arwah bapanya menjadi penggali kubur secara sambilan atas nama fardu kifayah sejak 14 tahun lalu dengan pekerjaan utama sebagai tukang rumah.
Arwah Halim adalah menjaga tiga lagi anak termasuk dua Orang Kurang Upaya (OKU) masalah pembelajaran iaitu Nurul Ain Najwa, 23 dan Mohd Mujibbul Rahman, 21 serta anak bongsu, Mohd Muinzudin, 14 selepas kematian isteri sejak dua tahun lalu.
Anak bongsu arwah, Muinzudin turut mengimamkan solat jenazah, selain memaklumkan arwah sempat memberi wang untuk membeli baju raya anak-anak.