Pinjam along demi susu anak & bayar sewa rumah, pengasas Hausboom dedah zaman gelap

Pinjam along demi susu anak & bayar sewa rumah, pengasas Hausboom dedah zaman gelap

 

Pinjam along demi susu anak & bayar sewa rumah, pengasas Hausboom dedah zaman gelap

Pengasas Hausboom, Azri Zahier Azmi mendedahkan dirinya pernah meminjam dengan along sebagai modal perniagaan sebelum produk minuman tempatan itu berjaya hingga menembusi pasaran antarabangsa.

Beliau berkata, ia merupakan tindakan berisiko besar dalam perniagaan yang diusahakan kerana terdesak untuk bertahan dan memerlukan wang untuk keperluan anak baru lahir serta membayar sewa rumah.

“Ahli keluarga tak pernah tahu perkara ini sehingga hari, namun demi nak tutup mulut semua, maka aku dedahkan sebahagian daripadanya.

“Aku tulis ini sambil menangis. Demi ALLAH, ini zaman gelap yang aku sebenarnya tidak ingin kenang. Anak baru lahir, hendak beli susu anak, hendak bayar sewa rumah pun aku pinjam along dulu. Peritnya waktu ni, ALLAH sahaja yang tahu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurutnya, pendedahan dibuat memandangkan ramai yang tertanya-tanya daripada mana beliau mendapatkan modal selama ini untuk menjalankan perniagaan.

Azri bagaimanapun sedar mengenai hukum riba dan telah melakukan taubat nasuha serta memohon keampunan kepada ALLAH SWT agar mengampunkan dirinya.

“Saya melakukan semua perkara terbabit termasuklah membuat pinjaman wang along selepas membuat pengiraan risiko,” jelasnya.

Beliau turut menangkis dakwaan tentang ‘cable’ atau sokongan kewangan daripada ibu bapa untuk memulakan perniagaan produk minuman seperti yang diperkatakan.

“Yang aku ada ialah sahabat-sahabat sejati. Mereka ini, aku kawan dari tadika sampai sekarang dengan kebanyakannya mereka pekerja kerajaan yang mudah untuk membuat pinjaman.

“Ada yang (bekerja sebagai) pemandu lori sampah, kakitangan pusat zakat Perak, pembantu perubatan, (malah) ada yang pinjamkan wang ibu mereka untuk aku pun ada,” ujarnya.

Azri berkata, rakan-rakan baiknya melakukan kutipan dana sebelum memberi pinjaman wang terbabit buat dirinya untuk dijadikan modal perniagaan.

“Untuk mengekalkan Hausboom dulu yang baru mula sekitar 2016 hingga 2017, aku banyak buat job trading untuk beranakkan modal.

“Daripada jual kelapa, jual kambing, jual ikan, tanam dan jual sayur, jual santan sehinggalah perniagaan barang-barang minyak dan gas. Dalam masa yang sama, aku mengusahakan kedai makan,” katanya.

Sebelum ini, usahawan produk minuman tempatan itu menerima kecaman bahawa dirinya berjaya disebabkan menerima sokongan keluarga ketika ditemubual dalam sebuah podcast baru-baru ini.