Jumlah penganggur di Malaysia semakin berkurangan

Jumlah penganggur di Malaysia semakin berkurangan

 

Jumlah penganggur di Malaysia semakin berkurangan

Kadar pengangguran negara merekodkan penurunan 3.2 peratus manakala bilangan tenaga buruh meningkat 0.1 peratus, menurut data perangkaan terkini dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada November lalu.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan semalam, berkata prestasi ekonomi negara yang kukuh menjelang penghujung tahun lalu, membolehkan pasaran buruh negara mengekalkan pertumbuhan yang stabil.

Beliau berkata, bilangan tenaga buruh pada November lalu pula terus mengukuh dengan kenaikan sebanyak 0.1 peratus merekodkan 17.29 juta orang berbanding 17.27 juta orang pada bulan sebelumnya.

Katanya, bilangan penduduk bekerja juga menunjukkan trend menaik, merekodkan peningkatan sebanyak 0.2 peratus kepada 16.75 juta orang pada November lalu, berbanding 16.72 juta orang pada Oktober lalu.

“Sementara itu, bilangan penganggur terus berkurang kepada 546,700 orang, turun sebanyak 0.9 peratus daripada 551,400 orang pada Oktober lalu.

“Kadar pengangguran bagi November lalu pula kekal pada 3.2 peratus, seperti pada bulan sebelumnya,” katanya.

Mengulas lanjut berhubung kedudukan guna tenaga, Mohd Uzir berkata, pada November lalu, 74.9 peratus daripada jumlah penduduk bekerja berada dalam kategori pekerja, merekodkan peningkatan 0.1 peratus kepada 12.54 juta orang berbanding 12.53 juta pada Oktober 2024.

Katanya, trend positif turut dilihat dalam kategori penduduk bekerja sendiri yang meningkat 0.4 peratus kepada 3.11 juta orang berbanding 3.10 juta orang pada Oktober lalu.

“Bagi sektor ekonomi pula, perkhidmatan terus merekodkan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja, terutamanya dalam ktiviti perdagangan borong dan runcit, pengangkutan dan penyimpanan serta maklumat dan komunikasi.

“Trend yang sama (iaitu meningkat) dalam bilangan guna tenaga juga dilihat dalam sektor pembuatan, pembinaan dan pengkuarian, dan pertanian pada November 2024,” katanya.

Berhubung situasi pengangguran bagi tempoh sama, Mohd Uzir berkata, daripada jumlah bilangan penganggur pada November 2024, 79.8 peratus adalah individu yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif.

Beliau berkata, kategori itu merekodkan penurunan sebanyak 0.9 peratus iaitu 436,200 orang berbanding 440,000 orang pada Oktober 2024.

“Mengikut tempoh pengangguran bagi penganggur aktif, mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan meliputi 62.6 peratus, manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun adalah sebanyak 6.0 peratus.

“Begitu juga, penganggur tidak aktif, atau mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia, turun sebanyak 0.7 peratus kepada 110,600 orang berbanding 111,400 pada Oktober 2024.” katanya.

Katanya, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun pada November 2024 kekal pada 10.4 peratus merekodkan 300,600 orang.

“Kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 hingga 30 tahun pula merekodkan penurunan sebanyak 0.1 peratus kepada 6.2 peratus, dengan bilangan penganggur belia seramai 415,600 orang berbanding 420,200 orang pada Oktober 2024,” katanya.