Pendapatan 4,000 keluarga di Sungai Manik terjejas kerana pemotongan gred
Kira-kira 4,000 keluarga pesawah di kawasan jelapang padi Sungai Manik terjejas pendapatan kerana pemotongan gred yang disifatkan terlalu tinggi.
Mereka yang mengusahakan lebih 2,000 hektar sawah mendakwa pemotongan itu sangat ketara ketika tuaian musim sekarang yang bermula Oktober lalu.
Beberapa pesawah yang ditemui memohon pihak berkuasa melakukan sesuatu untuk membantu mereka yang bergantung hidup kepada hasil padi.
Masroup Sukir dari Parit 13 Sungai Manik berkata, penutupan Pejabat Pertanian di Chenderong Balai turut memberi kesan kepada mereka, khususnya untuk mendapatkan khidmat nasihat.
“Apa yang berlaku sekarang ni, pemotongan hanya menguntungkan kepada pihak syarikat kilang yang mana petani menghadapi banyak masalah, terutamanya dari segi sewa tanah, upah-upah dan sebagainya dari segi racun dan sebagainya.
“Kalau dulu, Pejabat Pertanian ni memang sedia ada di Chenderong Balai tetapi sekarang ni dah tutup, kami tak tahu mengapa tetapi sejak kerajaan Pakatan Harapan memerintah,” katanya ketika ditemui semasa lawatan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abd Rahmah.
Bagi Helme Iskandar Mohamad dari Kuala Sungai Manik pula, masalah timbul apabila pemotongan lebih 20 peratus menyebabkan pendapatan pesawah terjejas.
“Kos penanaman padi tinggi, jadi bila dapat potongan lebih daripada 20, maksudnya dalam 27, 30 dia akan menjadikan petani terhimpit dengan masalah hutang, masalah kos yang kita tanggunglah,” ujarnya.
Sementara itu, Tajuddin menasihatkan pesawah supaya mengikut amalan pertanian baik (GAP) yang diperkenalkan ketika beliau menjadi Timbalan Menteri Pertanian.
“Ia melibatkan jadual pertanian, bila nak mula dan melibatkan benih padi yang baik, melibatkan penggunaan baja tepat pada waktunya, kemudian penjagaan penyakit dan sebagainya.
“Senarai itu perlu dipatuhi, barulah kita boleh mendapatkan hasil yang baik dan tinggi,” katanya.
Beliau juga berharap agar Pejabat Pertanian di Chenderong Balai dibuka semula dan menempatkan juruteknik pertanian untuk memberi khidmat nasihat kepada para pesawah.
Sumber: Suara Perak