Pemungut sampah dapat tawaran kerja selepas pulangkan RM13,000

Pemungut sampah dapat tawaran kerja selepas pulangkan RM13,000

 

Pemungut sampah dapat tawaran kerja selepas pulangkan RM13,000

Seorang wanita di Thailand memberi ganjaran kepada seorang pemungut sampah dengan pekerjaan di kedai getahnya di wilayah Isaan, Udon Thani sebagai ganjaran kerana mengembalikan keseluruhan wang tunai 100,000 baht (kira-kira RM13,219) miliknya yang hilang.

Portal The Thaiger melaporkan, Boonkong ‘Namfon’ Manmueangpak, 28, tiba di Balai Polis Klang Yai dengan basikalnya pada 13 Mac lalu dan meminta pegawai polis mencari pemilik sah wang tunai 100,000 baht (kira-kira RM13,219) yang ditemuinya di tepi jalan.

Namfon berkata, dia menemui wang itu berhampiran tiang elektrik ketika mencari sampah yang boleh dikitar semula di kawasan berkenaan.

Pegawai polis kemudian membawa Namfon ke tempat kejadian untuk lakonan semula.

Ketika mereka melakukan lakonan semula, seorang wanita berusia 41 tahun, Piyanut Srithong, tiba dan segera mendekati polis untuk melaporkan kehilangan wangnya.

Piyanut menjelaskan dia bekerja di kedai getah, membeli produk getah daripada penduduk tempatan di kawasan itu dan kemudian menjualnya ke beberapa kilang.

Majikannya, Wilai Prapkhonchua, memerlukan sejumlah besar wang tunai untuk membeli produk getah itu, jadi dia meminta Piyanut menggadaikan aksesori emasnya di kedai berhampiran untuk mendapatkan wang tunai.

Selepas melengkapkan prosedur untuk membuktikan pemilikan sah wang itu, polis memulangkan wang tunai itu kepada Piyanut.

Bagi kejujuran Namfon, Piyanut memberi 3,000 baht (kira-kira RM397) sebagai ganjaran dan menawarkan untuk menghantar pemuda itu pulang.

Apabila tiba di rumah Namfon, Piyanut berasa sedih dengan keadaan kehidupan pemuda itu yang tinggal di rumah kayu usang bersama neneknya dan mengumpul barang kitar semula untuk menyara hidup.

Kilang sampah kitar semula akan datang ke rumahnya dua kali sebulan untuk membeli sampah, dan dia hanya memperoleh 500 (kira-kira RM500) hingga 600 baht (kira-kira RM79) setiap kali.

Bagi membantu Namfon dan menghargai kejujurannya, Piyanut berunding dengan majikannya, yang memutuskan untuk mengupah pemuda itu bekerja di sebuah premis.

Wilai menyatakan bahawa individu seperti Namfon jarang ditemui kerana orang lain mungkin sudah mengambil wang itu dan membelanjakan semuanya, tetapi Namfon tidak melakukannya.

Kisah Namfon menarik perhatian beberapa agensi berita Thailand.

“Saya tidak mahu wang itu kerana ia bukan milik saya,” kata Namfon kepada media.

Tambah Namfon, neneknya sudah mengajarnya supaya tidak mengambil barang berharga milik individu lain.

Namfon menzahirkan rasa gembira kerana mendapat pekerjaan yang lebih stabil kerana membolehkannya menjaga neneknya dengan lebih baik.