Pemimpin PAS dakwa Islam akan dipijak-pijak jika BN-PH menang

Pemimpin PAS dakwa Islam akan dipijak-pijak jika BN-PH menang

 

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang dari Pas, Alias Harun dilihat memainkan sentimen agama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Dikenali sebagai Cikgu Alias, Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang itu mengajak penyokongnya mempertahankan Perikatan Nasional (PN).

“Ayuh, jentera pilihan raya Pas DUN Rantau Abang teruskan bekerja mempertahankan kerajaan rakyat ini.

“Umno-BN-PH menang bermakna rakyat akan sengsara, Islam akan dipijak-pijak.

“Lipat gandakan usaha supaya Pas kekal untuk penggal kedua dan seterusnya,” kata bekas guru yang berkhidmat mulai tahun 1972 hingga 2007 itu.

Susulan itu, hantaran Cikgu Alias di Facebook tersebut dilihat mengundang kecaman orang ramai.

Malah, warganet turut berharap pihak berkuasa segera mengambil tindakan dengan menanda pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di ruangan komentar.

“Islam mana yang dipijak-pijak?

“Ini seruan ke arah ghuluw dan takfiri, satu kemungkaran besar dalam agama.

“Cikgu apa tapi menghasut dan memfitnah. Harap ada laporan polis besar-besaran terhadap posting walaun ni.

“Cikgu Alias Harun dekat Selangor PH perintah, part mana Islam kena pijak-pihak tu?” demikian antara reaksi orang ramai.