Berkeras tak mahu pindah, pemilik rumah kini menyesal tolak tawaran selepas lebuh raya hampir siap
Berkeras tak mahu pindah, pemilik rumah kini menyesal tolak tawaran selepas lebuh raya hampir siap
Seorang pemilik rumah di China yang sebelum ini berkeras untuk tidak mahu berpindah bagi pengambilan tanah untuk projek pembinaan jalan raya kini mula menyesali dengan pendirian tersebut.
Ia selepas rumahnya kini terperangkap di tengah-tengah pembinaan jalan yang sudah pun hampir siap.
Lebih memeningkan kepala, infrastruktur tersebut dibina lebih tinggi dengan permukaan jalan menyamai bumbung rumahnya.
Malah, situasi yang lebih menyiksakan mungkin sedang menanti pemilik rumah tersebut apabila jalan itu siap sepenuhnya dan dibuka untuk kegunaan orang awam.
Menurut The Sun, pemilik rumah itu telah ditawarkan beberapa pilihan oleh kerajaan antaranya tempat untuk berpindah dan pakej pampasan yang lumayan.
Ia bagi membolehkan tanah berkenaan diambil untuk projek pembinaan jalan tersebut.
Bagaimanapun, dia dikatakan tidak berpuas hati dengan tawaran yang diterimanya. Rundingan demi rundingan yang dibuat selepas itu juga tidak membuahkan hasil.
Lelaki itu tetap enggan menerima tawaran yang dibuat dan memilih untuk terus tinggal di lokasi projek tersebut.
Kerajaan kemudian memutuskan untuk meneruskan pembinaan jalan tersebut dengan struktur yang lebih tinggi di sekeliling rumah berkenaan.
Rumah berkenaan kini dikelilingi oleh dinding tinggi yang memisahkan lebuh raya dari bangunan, yang mana ia hampir ‘menenggelamkan’ rumah tersebut sepenuhnya.
Kini, pemilik rumah tersebut dilapor menyesali keputusan yang dibuat sebelum ini termasuk menolak pakej tawaran yang diberikan oleh kerajaan.
Dia juga bimbang kerana perlu berdepan dengan bunyi bising kenderaan di sekeliling rumahnya apabila jalan itu dibuka kepada lalu lintas kelak.
“Jika saya boleh memutarkan masa, saya akan bersetuju dengan syarat yang mereka (pemerintah) tawarkan. Saya rasa sedikit menyesal,” ujarnya.
The Sun berkata, penduduk tempatan menggelar lelaki berkenaan sebagai ‘pemilik rumah paku terkuat’ di China.
Dalam pada itu, rumah berkenaan kini menjadi tempat tumpuan dengan pelancong yang hadir turut mengabadikan kenangan
Dalam masa sama, kawasan itu turut menarik perhatian orang ramai dan dibanjiri pengunjung yang mahu bergambar bersama-sama dengan rumah tersebut.