Pemilik restoran rumah bot menangis, ‘king crab’ & peralatan jualan cecah RM1 juta hanyut dibawa arus deras
Pemilik restoran rumah bot menangis, ‘king crab’ & peralatan jualan cecah RM1 juta hanyut dibawa arus deras
Ratusan kilogram daging segar, ‘king crab’, barangan basah serta peralatan jualan yang mencecah hampir RM1 juta hanyut bersama ‘houseboat’ milik seorang pengasas kosmetik di Sungai Kelantan di sini pada Rabu.
Kejadian jam 3.29 petang itu berlaku semasa hujan lebat serta arus sungai deras sehingga menyebabkan tali yang mengikat ‘houseboat’ itu terputus.
Pengasas kosmetik serta pengusaha restoran yang dikenali sebagai JL Fara itu berkata, sehingga sekarang beliau masih terkejut dengan kejadian yang menimpa.
“Sebelum tali terputus disebabkan arus deras, suami ada memaklumkan pada saya untuk menambah lagi bilangan tali untuk memastikan ‘houseboat’ tidak dihanyutkan.
“Belum sempat untuk kami berbuat demikian ia berlaku. Di dalam ‘houseboat’ ini terdapat dapur serta tempat penyimpanan barangan jualan bagi ‘shellout’ serta nasi berlauk malam,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Menurut beliau, ia juga melibatkan dua bahagian iaitu restoran dan juga rumah peribadi serta sebuah bot yang diletakkan bersama ‘houseboat’ tersebut.
Ujarnya, sebelum kejadian itu pada Selasa malam sebuah pokok besar telah tumbang dan menimpa bahagian dapur ‘houseboat’ sekitar jam 8 malam.
JL Fara memberitahu, beliau serta kakitangan terpaksa berjaga sampai ke Subuh untuk membersihkan sisa-sisa pokok yang tumbang itu.
“Saya tidak sangka petang ini pula ‘houseboat’ yang hanyut. Letih malam tadi belum hilang lagi.
“Bagaimanapun Alhamdulillah sekitar jam 6.30 petang tadi kami menerima perkhabaran gembira, apabila ada penduduk yang telah ternampak dan menyelamatkan ‘houseboat’,” katanya.
Beliau memberitahu, bahagian ‘houseboat’ kecil ditemukan di Kampung Laut, Tumpat manakala yang besar pula di Kampung Keseng, berhampiran Pantai Cahaya Bulan.
Menurut JL Fara, suaminya bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sedang menuju ke lokasi berkenaan untuk mengambil semula ‘houseboat’ yang hanyut.
“Terima kasih kepada penduduk kampung yang baik hati. Saya dimaklumkan ada sebuah keluarga dengan anak-anak kecil menaiki bot siap tolong selamatkan ‘houseboat’ kami daripada terus dihanyutkan.
“Alhamdulillah, rakyat Kelantan baik-baik semuanya,” katanya.
Sebelum itu tular di TikTok serta Facebook video yang memaparkan detik-detik ‘houseboat’ milik JL Fara dihanyutkan arus deras di Sungai Kelantan.
Dia yang berkongsi momen-momen mencemaskan itu hanya mampu menangis dan melihat sahaja restoran terbabit bergerak dalam masa yang sama mencuba mendapatkan bantuan.
Perkongsian yang dibuat pemilik restoran dan juga usahawan kosmetik itu telah mendapat perhatian ramai apabila rata-rata netizen berasa terkejut serta tumpang simpati dengan kejadian yang dialami.
Mereka mendoakan agar urusan usahawan itu dipermudah dan mendapat rezeki yang lebih besar di masa hadapan selepas ujian yang cukup berat ini.
Sekadar info, beberapa kawasan di Kelantan telah dinaiki air susulan hujan lebat yang berlaku sejak malam tadi.
Disebabkan itu, Met Malaysia telah mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan dan meminta orang ramai berwaspada serta memantau keadaan cuaca, dan mengikuti arahan pihak berkuasa ketika musim tengkujuh ini.