TikToker tuduh pemilik restoran cuba tutup periuk nasi selepas dilarang buat ‘live’

TikToker tuduh pemilik restoran cuba tutup periuk nasi selepas dilarang buat ‘live’
Ramai pemilik restoran menggunakan media sosial untuk memperkenalkan perniagaan mereka kepada orang ramai.
Di sebalik kuasa tular yang mampu membawa keuntungan luar biasa, tidak semua pengusaha restoran gemarkan publisiti sedemikian atas sebab-sebab tertentu.
Di Thread, seorang pemilik restoran turut berkongsi rasa kurang senang apabila ada pelanggan yang datang membuat siaran langsung dalam premisnya.
Jelasnya, individu yang membuat siaran langsung itu mengganggu pelanggan lain dengan suara serta gelak tawa yang kuat.
“Kita larang seseorang supaya tidak buat live TikTok dalam restoran saya, dah dituduh kita tutup periuk nasi dia pula.
“Dia tak fikir ke saya nak kena jaga periuk nasi saya juga? Restoran saya kecil, ada dalam 20 meja saja.
“Saya tak kisah kalau perlahan. Too loud dan gelak ketawa yang saya tak boleh terima. Regular customer saya tak selesa,” tulis wanita itu.
Dalam hantaran sama, pengusaha restoran itu berkata dia juga bimbang suasana tenang di premisnya akan lesap sekiranya perniagaannya tular di media sosial.
“Saya masih old school. Nak tenang-tenang saja, tak nak bising-bising. Tak perlu tularkan restoran saya sebab saya lebih suka pelanggan datang tenang-tenang juga.
“Salah saya ke? Saya ni makcik yang dah lebih 60 tahun. Restoran pun small and chic saja. Selesa dan tenang,” kongsinya lagi.
Menurut wanita itu, restorannya menjual makanan-makanan kampung dan beroperasi di Kajang, Selangor.
Di ruangan komen, beberapa netizen turut bersetuju dengan tindakan wanita itu yang berusaha untuk mengekalkan suasana tenang di restorannya.
“Tak salah sebab awak adalah pemilik. Mungkin boleh letak notis di pintu masuk menyatakan tak dibenarkan buat live TikTok.
“Aunty tak salah. Kadang terserempak orang buat live kat kedai makan, kita rasa tak berapa selesa.
“Saya gatekeep dan tak nak tularkan kedai. Tangkap gambar pun tak beritahu lokasi. Tak sanggup beratur panjang (kalau tular).
“Saya pun suka makan dengan tenang. Tak minat yang buat live masa orang makan,” tulis netizen.