“Tolong selamatkan saya” – Pemandu trak FRU merintih minta tolong ketika masih sedar

“Tolong selamatkan saya” – Pemandu trak FRU merintih minta tolong ketika masih sedar

 

“Tolong selamatkan saya” – Pemandu trak FRU merintih minta tolong ketika masih sedar

“Tolong encik, tolong selamatkan saya.” Itulah rintihan pemandu trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang pada masa itu masih dalam keadaan sedar ketika tersepit dalam kemalangan tragis di Jalan Chikus–Sungai Lampam, pagi Selasa.

Situasi meruntun hati itu dikongsi Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Khusni Saidin, yang menyertai operasi menyelamat nahas tersebut.

Menurut beliau, insiden berkenaan meninggalkan kesan mendalam kepada anggota bomba dan penyelamat yang terlibat dalam operasi berkenaan.

“Detik paling menyentuh hati ialah apabila pemandu trak FRU yang masih sedar merayu agar diselamatkan.

“Kami cuba sedaya upaya memberikan bantuan, tetapi keadaan amat sukar,” katanya ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan.

Menurutnya, ketika operasi dijalankan, anggota bomba tidak dapat menahan sebak, ada yang menitiskan air mata ketika membantu mengeluarkan mangsa.

“Malah anggota FRU lain juga menangis melihat keadaan rakan-rakan mereka yang parah dan tidak sedarkan diri,” katanya.

Mohd Khusni yang telah berkhidmat selama 18 tahun dalam pasukan bomba menyifatkan ini sebagai operasi menyelamat paling berat yang pernah dilalui, khususnya kerana ia membabitkan rakan sesama pasukan keselamatan.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.51 pagi itu, sebuah lori muatan batu kerikil dipercayai mengalami kegagalan fungsi stereng sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh trak FRU yang membawa 18 anggota.

Lapan anggota disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi iaitu pemandu trak FRU menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.

Siasatan awal mendapati kegagalan sistem stereng lori terbabit menjadi punca kepada kemalangan yang meragut sembilan nyawa wira pasukan keselamatan negara.