Pemandu Honda Jazz rempuh dua remaja hingga maut tiada lesen memandu

Polis mengesahkan pemandu kereta Honda Jazz yang melanggar lampu isyarat di Jalan Persiaran Senawang 1, Seremban, sehingga mengakibatkan kemalangan maut membabitkan dua remaja, tidak mempunyai lesen memandu.
Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, pemandu berkenaan adalah seorang remaja berusia 18 tahun dan bukannya 15 tahun sebagaimana yang didakwa di media sosial.
Tambahnya, pihak polis masih belum mengambil keterangan pemandu kereta terbabit kerana mangsa sedang dirawat di hospital.
“Kita masih menjalankan siasatan lanjut kes ini dan berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi kerana boleh mengganggu proses siasatan dan menjaga sensitiviti mereka yang berkaitan,” ujarnya memetik laporan Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Mohamad Hatta berkata kes masih diteruskan di bawah Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan juga akan menjurus kepada kesalahan-kesalahan di bawah akta tersebut termasuk tiada lesen memandu.
Dalam kejadian sekitar pukul 8.30 malam, Khamis lalu, kemalangan berpunca daripada sebuah kereta jenis Honda Jazz yang dipandu remaja berusia 18 tahun dari arah Senawang menuju ke Paroi, gagal mematuhi lampu isyarat merah lalu merempuh dua buah motosikal dari arah sebelah kiri.
Kemalangan tersebut menyebabkan Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15, dan pemboncengnya, Muhammad Aswari Lotpi, 16, maut di tempat kejadian.
Empat individu lain iaitu pemandu dan penumpang kereta Honda Jazz serta penunggang dan pembonceng motosikal jenis Honda Vario mengalami cedera parah menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban.
Video memaparkan insiden menyayat hati itu turut tular di media sosial.