Pemandu bas terbabit nahas dua maut di Genting Highlands tiada lesen memandu, miliki 27 rekod saman

Pemandu bas terbabit nahas dua maut di Genting Highlands tiada lesen memandu, miliki 27 rekod saman

Polis mendapati pemandu bas persiaran yang terbabit dalam kemalangan maut mengorbankan dua pelancong di Kilometer (Km) 16.5 Jalan Genting Highlands, Bentong, pagi tadi didapati tidak memiliki lesen memandu.

Malah pemandu bas berusia 32 tahun terbabit juga mempunyai 27 rekod saman lampau atas pelbagai kesalahan.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata kesalahan itu dikesan selepas polis melakukan semakan terhadapnya.

“Kita sedang menjalankan siasatan serta akan mengambil tindakan susulan selepas pemandu bas selesai mendapatkan rawatan.

“Pada masa ini, pemandu terbabit mengalami kecederaan akibat kemalangan,” katanya kepada media hari ini.

Zaiham berkata, dalam kejadian sekitar jam 10.35 pagi itu bas persiaran yang membawa 18 penumpang warga asing dan tiga warga tempatan terdiri daripada pemandu bas, pembantunya dan pemandu pelancong, terbabas sebelum melanggar tembok tengah pembahagi jalan di Km 16.5, jalan turun Genting Highlands, Bentong menuju ke ibu negara.

“Kesemua mangsa berjaya dibawa keluar dari bas manakala dua lagi penumpang lelaki yang juga pelancong warga China yang dikenali sebagai Zhang Ping, 58, dan Wang Shuhong, 49, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“13 mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) manakala enam lagi menerima rawatan di Hospital Bentong,” katanya.

Sehubungan kejadian ini polis meminta saksi kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan.