Pemandu bas nahas pelajar UPSI mengaku tidak bersalah memandu berbahaya

Pemandu bas nahas pelajar UPSI mengaku tidak bersalah memandu berbahaya
Pemandu bas yang terbabit nahas ketika membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian 15 pelajar.
Mohd Amirul Fadhil Zulkifle, 39, mengaku tidak bersalah terhadap 15 pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Firdaus Nor Azlan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di KM 53 Lebuhraya Timur-Barat, kira-kira jam 1.15 pagi pada 9 Jun lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM50,000 jika sabit kesalahan.
Dia turut didakwa atas satu lagi kesalahan memandu secara melulu dan berbahaya mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tertuduh mengaku tidak bersalah dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 manakala lesen memandu digantung minimum lima tahun.
Dalam kejadian 9 Jun lalu, bas yang membawa 42 pelajar UPSI itu dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu menuju kampus utama UPSI sebelum melanggar sebuah Perodua Alza di KM53 Jalan Raya Timur-Barat, Gerik.
Kejadian menyebabkan 13 mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.