Nahas UPSI: Pemandu ada rekod 18 saman, bas 21 saman

Nahas UPSI: Pemandu ada rekod 18 saman, bas 21 saman

 

Nahas UPSI: Pemandu ada rekod 18 saman, bas 21 saman

Polis mengesahkan sebanyak 18 saman pernah dikeluarkan kepada pemandu bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terbabit kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, awal pagi semalam sehingga mengorbankan 15 mangsa.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, daripada 18 saman itu, sebanyak 13 saman dikeluarkan atas kesalahan memandu laju, satu kesalahan kemalangan, tiga kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar dan satu kesalahan tiada lampu brek ketiga.

“Semua 18 saman itu masih belum diselesaikan lagi,” katanya kepada Harian Metro hari ini.

Menurutnya, siasatan juga mendapati bas terbabit turut mempunyai rekod sebanyak 21 saman dikeluarkan atas kesalahan trafik.

“Bagaimanapun rekod saman ke atas bas terbabit 16 sudah dijatuhkan hukum manakala baki lima saman masih dalam siasatan,” katanya.

Media semalam melaporkan, PDRM akan menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat kemalangan membabitkan bas sewa khas UPSI di JRTB.

Mohd Yusri dilaporkan berkata, PDRM dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Pengangkutan Awam Darat dan pihak berkaitan akan menyiasat nahas itu secara menyeluruh.

“Kita akan melengkapkan kertas siasatan secepat mungkin untuk kita mendakwa pemandu (bas) terbabit di mahkamah.

“Kita akan menyiasat dalam pelbagai sudut dari segi rekod (kesalahan), latar belakang, kegiatan dan kerjaya dia sebelum ini, kita akan siasat semuanya,” katanya.

Semalam, seramai 15 pelajar UPSI meninggal dunia manakala tujuh mengalami cedera parah selepas bas yang dinaiki mereka terbalik dalam kemalangan jam 1.15 pagi.

Bas itu dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu dikatakan hilang kawalan sebelum melanggar Perodua Alza dan terbabas.