Pemancing kongsi situasi panik jumpa harimau dalam hutan, tindakan bijak berjaya selamatkan nyawa
Kaki pancing akan mencuba pelbagai lokasi terpencil untuk melepaskan gian yang meluap-luap.
Namun menjelajah ke dalam hutan yang merupakan habitat hidupan liar bermaksud pemancing perlu bersedia untuk berhadapan dengan ancaman binatang buas.
Melalui satu video tular di laman TikTok, seorang lelaki dikenali sebagai Nazrie Iskandar berkongsikan detik cemas ketika memancing di kawasan berpaya sekitar Johor.
Menerusi video itu, Nazrie pada mulanya dilihat sedang asyik melayan perasaan sambil memutar joran, apabila tiba-tiba rakan berhampirannya berlari dalam keadaan cemas.
Nazrie yang turut terkejut pantas menoleh ke belakang untuk melihat keadaan rakannya, ternyata seekor harimau belang sedang menyusup menghampiri kedudukan mereka.
Dalam keadaan panik, Nazrie memberanikan diri untuk membaca surah al-Fatihah, doa Nabi Sulaiman dan memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT supaya diberikan perlindungan daripada bahaya di hadapannya.
“Kau undur je perlahan-lahan, jangan sampai terpijak ranting,” pesan Nazrie kepada rakannya, ketika itu kelihatan pak belang tersebut mengambil salah satu beg galas yang dibawa mereka, mungkin dianggap sebagai makanan.
Pada babak seterusnya, Nazrie dan rakan berteduh sebentar di atas pokok, menunggu untuk harimau terbabit berlalu pergi.
Santai kawan! Tengah atas pokok ni, tak sangka waktu seronok memancing, harimau boleh datang sebelah pula. Lagi selangkah je antara kami dengan harimau tu, memang tak boleh buat apa dah, mampu tawakal je.
“Nasib baik la dia cuma ambil beg, terasa ‘goyang’ kaki ni. Kami mula ingat nak pecut terus, tapi terfikir pula kalau lari mesti harimau tu kejar kami. Jadi kami pun cuba berundur dengan tenang.
“Sekarang ni nampak harimau tu tengah duduk peluk beg tu, entah apa yang dibaunya. Dah minta bantuan kawan, kejap lagi mereka sampai, sementara tu duduk dulu atas pokok ni.
“Alhamdulillah masih dipanjangkan umur, kepada mereka yang suka memancing, pastikan tengok kiri dan kanan dulu, takut ada bahaya menanti,” ujar Nazrie memberikan peringatan.
@nazrie_iskandar alhamdulillah masih dipanjangkan lagi umur mat dan memeng… pengalaman seumur hidup tengah casting harimau datang berdepan… kepada kawan2 mat berhati-hatilah ketika berada di dalam hutan…kita hanya mampu merancang hanya tuhan menentukan…alhamdulillah ya allah🤲 #syukuralhamdulillah #casting #alhamdulillah #semuaallahbagi #ozmy
Menjengah ke ruangan komen, warga maya kagum dengan semangat setia kawan yang ditonjolkan Nazrie.
“Bagus la bang tak tinggalkan kawan, kalau orang lain mungkin dah lari dulu. Inilah sahabat sehidup semati.
“Betul apa abang ni buat, kalau jumpa harimau jangan lari, mengundur je sambil tu pandang mata harimau tu. Kalau kita lari, harimau tu akan ingat kita mangsa dia, memang jadi makanan,” ujar sebahagian warga maya.