Pelanggan pelik martabak beli di bazar Ramadan tak boleh potong, rupanya ada ‘inti’ kain buruk

Pelanggan pelik martabak beli di bazar Ramadan tak boleh potong, rupanya ada ‘inti’ kain buruk

 

Sejak kebekalangan ini, kecoh di media sosial apabila ramai warganet berkongsi pengalaman tidak menyenangkan mereka selepas mengunjungi bazar Ramadan 2024.

Seperti sebelum ini, seorang wanita dikenali sebagai Faeza telah meluahkan kekecewaannya sebaik mengetahui juadah dibeli tidak seperti yang diharapkan.

Faeza yang membeli tauhu bergedil terkejut apabila mendapati isinya adalah kentang dimasak kari iaitu inti kepada kuih karipap.

Tidak terhenti di situ sahaja, baru-baru ini, tular satu hantaran di laman Facebook, Yuhaiza Hamid apabila wanita itu berkongsi keadaan juadah martabak (murtabak) yang dibelinya.

Kebiasaannya, martabak yang dibeli mempunyai inti daging cincang, ayam atau pun kambing. Namun lain pula nasib yang menimpa pelanggan tersebut apabila dia menerima martabak ‘berintikan’ kain lap. Yes, kain lap!

Wanita itu dalam masa sama mempersoalkan kewujudan benda kotor tersebut sama ada ia adalah pelaris atau sekadar kain lap biasa.

Ni kain buruk ke pelaris ni. Terus muntah sekeluarga.

Yuhaiza mendakwa dia telah membeli juadah berbuka puasa itu di sebuah gerai di bazar Desa Pandan, Kuala Lumpur.

Tambah wanita itu lagi, dia hanya menyedari kewujudan kain lap tersebut selepas dia sukar memotong martabak berkenaan.

Pelik tak boleh potong. Rupanya kain buruk, Allah…

Menerusi hantaran yang lain, Yuhaiza juga sempat menunjukkan video dia sedang mencuci kain tersebut di singki bagi membuktikan ia sememangnya adalah sehelai kain dan bukan gimik semata-mata.

Dalam satu kenyataan Yuhaiza di ruangan komen, wanita itu berkata dia akan bersemuka dengan peniaga yang menjual martabak berkenaan pada hari ini (22 Mac) selain berharap usahawan lain akan lebih berhati-hati selepas ini.

Yuhaiza ketika dihubungi TRP berkata, kes kini sedang disiasat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen berasa geli melihat kain lap kotor yang terdapat dalam makanan.

“Kalau tu kain lap peluh, lepas itu masak dalam martabak, naya,” kata seorang lelaki.

Malah, ada juga yang mempertikaikan kecuaian peniaga kerana tidak perasan dengan saiz kain sebesar itu.

“Orang yang jual tak kan tak perasan masa masak tu, besar saiz kain tu,” ujar seorang wanita.

Untuk makluman semua, anda boleh salurkan aduan kepada pihak berkuasa iaitu Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) sekiranya makanan yang dibeli di mana-mana premis tidak berkualiti, tercemar serta rosak.

  • Membuat aduan di Pejabat BKKM atau Pejabat Kesihatan Daerah yang berdekatan.
  • Hubungi talian BKKM atau MyGCC: 03-8885 0797 atau 03-8000 8000.
  • Facebook BKKMHQ.
  • Aduan menerusi surat kepada Pejabat BKKM, Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah yang berdekatan.