Pelancong Taiwan kritik makanan Malaysia, dakwa ‘ia bukan untuk manusia’

Pelancong Taiwan kritik makanan Malaysia, dakwa ‘ia bukan untuk manusia’
Seorang wanita dari Taiwan melancong ke Malaysia meluahkan rasa keterujaannya mahu segera pulang ke negara asalnya susulan mempunyai pengalaman buruk sewaktu di Malaysia.
Menurut laporan WOB, wanita terbabit mendakwa makanan di Malaysia “tidak selamat untuk dimakan oleh manusia dan menambah lagi bahawa makanan di sini terlalu banyak letak garam.
“Akhirnya saya boleh pulang ke Taiwan, dan saya tidak akan kembali ke Malaysia. Saya mahu makan sesuatu yang layak untuk manusia,” katanya.
Di dalam ruangan komen, dia menerangkan bahawa makanan Malaysia boleh jadi sesuatu yang menakutkan kerana “segalanya adalah campuran” sekaligus gagal mengenal pasti rasa sebenar juadah yang dimakan.
“Saya rasa mereka tuang garam (dengan jumlah yang banyak) ke dalam juadah.”
Selain itu, dia turut mengulas tentang rasa masin makanan Malaysia, termasuk Bah Kut Teh, dengan nada sinis.
Bercakap mengenai tarikan pelancong, wanita terbabit turut mengeluh dengan berkata “Tarikan yang kami lawati semuanya monumen. Kenapa pula kami pergi melihat monumen orang lain? Saya langsung tidak kenal dia.”
Menurut catatannya, dia dan suaminya tiba di Malaysia pada 30 Mei untuk memulakan perjalanan mereka. Sepanjang perjalanan, mereka melawat Kuala Lumpur dan Melaka serta mengunjungi Menara Berkembar Petronas, Tugu Negara, dan Dataran Merdeka.
Dia juga sempat merasai lawatan bersiar-siar menaiki beca tempatan semasa perjalanannya.