“Bersih, tiada jalan berlubang” – Pelancong India malu dengan negara sendiri selepas melawat Malaysia

“Bersih, tiada jalan berlubang” – Pelancong India malu dengan negara sendiri selepas melawat Malaysia
Peluang melancong ke Kuala Lumpur akhirnya mengubah persepsi negatif seorang pelancong dari India.
Menurut Desi Stoic dia sebelum ini sering bersangka buruk dengan warga India yang memilih untuk menetap di luar negara.
Dalam satu hantaran tular di Reddit, dia meluahkan rasa kagum dengan pembangunan di Malaysia dan dalam masa sama malu dengan negara sendiri.
“Kami bercuti ke Kuala Lumpur secara tidak dirancang selepas batalkan trip ke Vietnam kerana hujan lebat.
“Tapi jujurnya, saya sangat terkejut. Bandar KL nampak sangat tersusun dan terancang. Tak ada lubang di jalan, tak ada gambar ahli politik atau kain rentang besar-besar dan bersih.
“Rakyatnya berdisiplin, kualiti hidup tinggi, udara bersih dan orang ramai sangat membantu,” tulisnya.
Menurutnya lagi, pengalaman tersebut membuatkan dia berfikir tentang keadaan di negaranya sendiri.
Desi turut menyuarakan kekesalan apabila rakyat diu India seolah-olah sudah berputus asa dan hanya meletakkan harapan yang sangat rendah terhadap kerajaan.
“Walaupun kita mempunyai segala sumber dan potensi untuk menjadi hebat, kita masih bergelut mendapatkan kemudahan asas.
“Kita terlalu sibuk bertengkar sesama sendiri atas isu remeh, mencari kegembiraan dalam kemenangan IPL (Indian Premier League) atau T20 (format perlawanan Twenty20).
“Kita juga terlalu mengagungkan selebriti atau terlalu asyik meraikan ahli politik kegemaran tanpa pernah mempersoalkan tanggungjawab mereka,” katanya.
Luahan itu turut mendapat perhatian ramai netizen yang rata-ratanya bersetuju dengan perbandingan yang dibuat terutamanya dalam aspek kebersihan.
Malah, salah seorang netizen turut mengakui bahawa di Asia Tenggara, budaya menjaga kebersihan memang sangat dititikberatkan.
“Saya pernah tinggal di Malaysia dan kanak-kanak diajar bersihkan sekolah sendiri setiap pagi. Mereka dah dibiasakan sejak kecil untuk jaga persekitaran.
“Orang India pula rajin jaga kebersihan rumah sendiri tapi tempat awam selalu diabaikan. Sampah dibuang merata, walaupun tong sampah sebenarnya tak jauh pun,” katanya netizen tersebut.