Pelancong British dakwa terkandas di Malaysia selepas gagal bayar parkir RM7
Pelancong British dakwa terkandas di Malaysia selepas gagal bayar parkir RM7
Seorang lelaki British mendakwa dia terkandas di Malaysia gara-gara selepas gagal membayar tiket parkir kereta, lapor Express.co.uk.
Jurutera elektrik yang berpangkalan di London, Ahmed Hadi, 47, berkata bahawa pasportnya telah diambil oleh pihak mahkamah selepas insiden dia meletakkan keretanya selama hanya 10 minit di tempat letak kereta di Pulau Pinang pada 7 Disember lalu.
Sewaktu hendak keluar, Ahmed menegaskan bahawa dia cuba membayar caj sebanyak RM7 (£1.27), tetapi mesin pembayaran menolak kedua-dua kadnya.
Dia mendakwa bahawa walaupun telah menekan butang bantuan dan berinteraksi dengan pegawai parkir selama 10 minit lagi, tiada bantuan diberikan.
Lelaki British itu kemudian didakwa telah mengangkat palang plastik untuk keluar dari tempat letak kereta, secara tidak sengaja menyebabkan kerosakan.
Tindakannya itu mengakibatkan dia ditangkap dan dibicarakan di mahkamah, di mana peguamnya berunding untuk mencapai penyelesaian dengan syarikat parkir.
Namun, lapan minggu selepas insiden itu, mahkamah masih menahan pasport Ahmed, yang disita sebagai sebahagian daripada syarat jaminannya, menyebabkan dia berada dalam dilema.
Pada mulanya, dia bercadang untuk berpindah ke Malaysia bersama isterinya, Lucy, dan dua anak perempuan mereka, tetapi kini dia mula berfikir semula tentang keputusan tersebut.
“Semuanya memang tidak masuk akal sejak awal. Saya bersedia untuk membayar, tetapi mesin parkir tidak dapat menerima wang itu dan tidak membenarkan saya keluar.
“Saya fikir semuanya sudah diselesaikan, tetapi saya masih tidak mempunyai pasport saya atau sebarang idea bila, atau jika, saya akan mendapatkannya semula,” luah Ahmed.
Ahmed melabelkan Malaysia sebagai ‘neraka tanpa hak asasi manusia’.
“Keadaan dalam sel sangat teruk. 50 orang terpaksa berkongsi satu tandas. Salah seorang pegawai polis mengancam untuk memukul saya,” kongsi Ahmed pengalamannya ketika berada di penjara.
“Kita fikir Britain bermasalah, tetapi ini membuatkan saya sedar betapa baiknya keadaan di sana.
“Negara ini hanya tahu mengambil kesempatan, dan anda tidak bebas,” katanya lelaki British itu.
Insiden itu berlaku pada 7 Disember, sebelum keluarganya merancang untuk keluar makan.
Jelasnya lagi, pada ketika itu tiada jalan lain untuk keluar. Ia sangat menjengkelkan dan tidak masuk akal. Dia cuba mengangkat palang itu dengan lembut, tetapi ia terus roboh seperti kertas.
Isteri Ahmed, Lucy, terpaksa membayar hampir £2,425.41 (RM13,231) untuk membebaskannya dari penjara, termasuk bayaran penjamin dan yuran guaman.
Memetik laporan itu lagi, pihak kehakiman turut mengambil pasport lelaki British tersebut dalam proses tersebut.
Kini, Ahmed perlu hadir semula di mahkamah pada 17 Februari.
“Kami pernah mempertimbangkan untuk menetap di sini sebelum ini, tetapi sekarang tidak mungkin – ia tidak berperikemanusiaan.
“Ketika saya ditangkap, tiada siapa yang membacakan hak saya. Saya dipindahkan ke sel yang berbeza setiap hari. Lucy langsung tidak tahu di mana saya berada atau apa yang sedang berlaku,” kata Ahmed.
“Ahmed adalah warga British tetapi juga berasal dari Kuwait, jadi mereka terus mengatakan, ‘Dia (Ahmed) orang kaya.
“Negara ini pada dasarnya adalah sebuah negara polis – tiada kebebasan bersuara. Mereka menangkap orang sesuka hati, dan semuanya dilakukan untuk mendapatkan wang,” kata Lucy.