Pelajar UUM maut dilanggar bas kampus ketika beratur

Pelajar UUM maut dilanggar bas kampus ketika beratur

 

Pelajar UUM maut dilanggar bas kampus ketika beratur

Seorang pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) maut selepas dilanggar sebuah bas kampus dalam kejadian tragis yang berlaku di hadapan perhentian bas Jalan Persiaran Perdana, UUM pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, mangsa Manarina Hasya Muhamad Karim, 22, disahkan meninggal dunia pada jam 6.30 petang ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Katanya, kejadian berlaku sekitar jam 8.45 pagi dan melibatkan dua buah bas milik syarikat yang sama.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila bas pertama sedang berhenti di perhentian untuk mengambil penumpang sebelum dilanggar dari belakang oleh bas kedua.

Keadaan kedua-dua bas dan lokasi kejadian yang menyebabkan seorang pelajar UUM maut.

“Impak pelanggaran menyebabkan bas hadapan menggelongsor ke depan dan melanggar besi penghadang jalan, sebelum menghimpit mangsa yang sedang menunggu giliran untuk menaiki bas berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Menurutnya, mangsa yang berasal dari Joohr mengalami kecederaan serius dan dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia beberapa jam kemudian.

“Kedua-dua pemandu bas, masing-masing berusia 32 dan 37 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat kemalangan jalan raya. Pihak polis menyeru saksi kejadian untuk tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan,” jelasnya.

Manarina Hasya Muhamad Karim, 22, disahkan meninggal dunia pada jam 6.30 petang. FOTO IHSAN FACEBOOK UUM