Netizen terkejut pelajar wanita dedah belanja lebih RM4,000 sebulan di USM
Netizen terkejut pelajar wanita dedah belanja lebih RM4,000 sebulan di USM
Netizen terkejut mendengar pengakuan seorang pelajar wanita yang membelanjakan lebih RM4,000 sebulan di universiti awam.
Beberapa pelajar ditanya tentang jumlah perbelanjaan mereka dalam sebulan ketika berada di Universiti Sains Malaysia (USM).
Ada yang menjawab sekitar RM210 sehingga RM600. Untuk berjimat ada pelajar yang cuba mengawal perbelanjaan dalam RM8 sehari untuk makan.
Kemudian seorang wanita lagi berkata dia membelanjakan lebih seribu. Ini termasuk untuk barang dandanan dan solekan serta untuk penjagaan kulit. Dia juga menyertakan perbelanjaan membeli baju serta seorang yang gemar mencari kafe untuk dilawat.
Angka itu dianggap besar, namun ada yang lebih mengejutkan kerana seorang lagi pelajar wanita menyatakan dia membelanjakan lebih RM4,000 sebulan.
Ini kerana dia gemar pergi ke kafe yang dianggap aesthetic. Seterusnya dia turut membelanjakan wang tersebut untuk pengangkutan, makanan, membuat rawatan muka.
Mendengar pengakuan gadis itu, penemuramah akhirnya berkata: “Jadi betullah orang cakap, orang cantik ni maintenance tinggi.”
Kenyataan itu disambut dengan ketawa oleh gadis itu.
Rata rata netizen di ruangan komen berbelah bagi pendapat tentang perbelanjaan lebih RM4,000 sebulan di universiti awam. Ada yang menganggap perbelanjaan itu lebih banyak daripada perbelanjaan berkeluarga dalam sebulan.
Namun ada juga yang mempertahankan gadis itu, kerana menurut mereka, jika ibu bapanya mampu untuk memberikan belanja sebesar itu untuk anak kesayangan mereka, apa salahnya.
Menyedari perkara itu, gadis itu kemudiannya tampil di ruangan komen memaklumkan dia tersilap mendengar soalan dan memberi penjelasan.
“Saya tersilap dengar soalan kerana ia adalah soalan spontan. Saya ingatkan dia (host) tanya 1 semester jadi RM4,000 tu 1 semester tau bukan 1 bulan.
“Selain itu, wang yang saya belanjakan mengikut kehendak adalah duit saya bekerja dan kumpul sendiri. Jadi harap jangan kisah mengenai cara saya berbelanja memandangkan saya memperolehnya sendiri,” kata pelajar itu.
Terdapat juga netizen yang kagum dengan pelajar yang boleh berbelanja sekitar RM200 sebulan. Tanda mereka benar benar berkorban demi untuk menuntut ilmu.