“Bas laju, tahu-tahu dah terbabas” – Pelajar UPSI kongsi detik ngeri kemalangan

“Bas laju, tahu-tahu dah terbabas” – Pelajar UPSI kongsi detik ngeri kemalangan

 

“Bas laju, tahu-tahu dah terbabas” – Pelajar UPSI kongsi detik ngeri kemalangan

“Tahu-tahu, kami dah terbabas.”

Demikian kata pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nik Khairulnisa Ruzmi, 23, yang terselamat dalam kemalangan bas di Jalan Gerik–Jeli berhampiran Tasik Banding, awal pagi Isnin.

Pelajar tahun tiga jurusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sejarah) itu berkata, kejadian berlaku ketika semua penumpang sedang tidur dalam perjalanan pulang ke kampus selepas cuti Aidiladha.

Malah dia mendakwa dirinya hairan kerana sebelum kejadian bas dinaiki dipandu laju.

“Bukan bas rombongan…persiaran biasa. Bas itu dari Besut nak ke UPSI. Kami naik di hadapan Masjid Hadhari, Jerteh, Terengganu.

“Ketika itu, saya duduk di bahagian kanan, tengah bas. Masa kejadian jam 1 pagi, saya sedang tidur kemudian tersedar… bas laju.

“Tengok-tengok dah terbabas. Tak tahu siapa yang selamat. Ada juga saya cuba panggil kawan tapi mereka tak menyahut,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, sekurang-kurangnya 15 individu dilaporkan maut dalam nahas membabitkan sebuah bas dan kenderaan pelbagai guna (MPV).

Difahamkan, nahas yang berlaku sekitar jam 1 pagi itu melibatkan sebuah bas yang membawa seramai 42 pelajar UPSI.

Mengulas berkenaan keadaan dirinya, Nik Khairulnisa berkata, hanya kecederaan ringan dengan luka dan calar di tangan kiri dialaminya dalam kejadian tragis itu.

“Saya duduk di bahagian bukan yang terbalik. Mereka yang duduk sebelah saya luka agak banyak juga,” ujarnya.

Dia yang berasal dari Besut, Terengganu memberitahu terdengar jeritan dan laungan ‘Allahuakbar’ daripada penumpang lain ketika kemalangan berlaku.

“Lepas kemalangan, suasana senyap sangat. Di luar pun gelap gelita. Memang takut dan trauma masa itu.

“Berkenaan rakan yang lain, ada yang saya kenal…tapi saya tak pasti keberadaan mereka sekarang, sama ada dalam keadaan baik ataupun tidak. Ya, dia kawan rapat, tapi bukan satu program,” tambah Nik Khairulnisa.

Dia juga berharap semua yang tercedera diberikan kesembuhan dan mendoakan agar mereka yang maut ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

“Saya harap kawan-kawan lain sihat semua. Yang meninggal tu semoga syurga tempat mereka, amin,” doanya.

Walaupun keadaannya stabil Nik Khairulnisa tetap menunggu ahli keluarga tiba dari Besut dan akan membuat pemeriksaan lanjut seperti yang disarankan hospital.

“Doktor ada suruh buat pemeriksaan susulan. Pegawai kaunseling pun ada datang. Kalau rasa trauma atau nak luah, boleh terus hubungi mereka,” ujarnya.

Buat masa ini, Nik Khairulnisa enggan berkongsi sebarang gambar kepada kepada Sinar Harian kerana masih dalam keadaan trauma.