13 pelajar UMPSA berdepan detik cemas, bas ekspres langgar belakang treler

13 pelajar UMPSA berdepan detik cemas, bas ekspres langgar belakang treler

 

13 pelajar UMPSA berdepan detik cemas, bas ekspres langgar belakang treler

Seramai 13 pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) adalah antara 28 penumpang sebuah bas ekspres yang menempuh detik cemas apabila bas dinaiki mereka terbabit kemalangan melanggar belakang sebuah lori treler di Kilometer 161.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah timur, dekat sini, awal pagi tadi.

Kejadian itu menyebabkan treler terbabit terbabas dalam longkang berhampiran, manakala semua 28 penumpang bas itu dipindahkan ke bas lain bagi meneruskan perjalanan ke Terminal Sentral Kuantan, di Kuantan.

Naib Canselor UMPSA, Prof Dr Yatimah Alias, yang mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya menerima laporan 13 pelajar UMPSA yang menaiki bas berkenaan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Kuala Lumpur pada jam 8.30 malam menuju hentian bas UMPSA Gambang di Kuantan, terbabit kemalangan itu pada kira-kira jam 1 pagi di Maran.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya bersyukur semua penumpang terbabit selamat dan pelajar terbabit tiba di kampus pada kira-kira jam 4 pagi tadi.

“Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMPSA serta Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) memberikan bantuan segera kepada 13 pelajar terbabit yang tiba di Masjid UMPSA Gambang termasuk makanan, sokongan emosi serta tempat kediaman sementara,” katanya.

Treler terbabas ke longkang selepas dilanggar sebuah bas ekspres membawa 28 penumpang termasuk 13 pelajar UMPSA di Kilometer 161.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah timur, awal pagi tadi. – Foto ihsan polis

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai, berkata kemalangan berlaku kira-kira jam 1 pagi ketika bas ekspres terbabit dalam perjalanan dari Terminal Bas Selatan Kuala Lumpur ke Terminal Sentral Kuantan, di Kuantan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati bas ekspres itu merempuh bahagian belakang treler ketika kedua-dua kenderaan terbabit dalam perjalanan ke arah Kuantan, menyebabkan treler terbabas ke longkang.

“Kejadian berlaku ketika bas bergerak di lorong kiri dan pemandunya dipercayai hilang kawalan lalu merempuh treler di depannya,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Kim Wai berkata, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini dan 28 penumpang bas terbabit dipindahkan ke bas gantian untuk dihantar ke Kuantan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku disebabkan pemandu bas gagal mengekalkan jarak selamat ketika memandu.

Katanya, kes disiasat mengikut Peraturan 10 LN 166/59 iaitu gagal mengawal kenderaan.