Belum lagi ambil SPM, pelajar Melayu cemerlang di SJKC sudah dapat tawaran universiti
Belum lagi ambil SPM, pelajar Melayu cemerlang di SJKC sudah dapat tawaran universiti
Pelajar cemerlang Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Heng Ee, Georgetown, yang mendapat perhatian netizen baru-baru ini difahamkan sudah mendapat tawaran daripada sebuah universiti terkemuka walaupun belum tamat persekolahan.
Ahmad Khidir, 17, yang bakal menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) tidak lama lagi berkata, dia mendapat tahu mengenai hal itu selepas dimaklumkan gurunya yang mendapat kiriman mesej daripada wakil universiti berkenaan di TikTok.
Susulan tawaran itu, dia menyatakan rasa syukur dengan perhatian yang diberi namun tumpuannya sekarang hanyalah untuk membuat persediaan bagi menduduki SPM yang bakal bermula pada 2 Disember depan.
“Saya terkejut apabila Cikgu Sejarah maklumkan ada wakil universiti daripada bahagian pengambilan penuntut mahukan butiran lanjut mengenai saya.
“Tapi pihak universiti berkenaan belum menghubungi saya mahukan keluarga. Ikutkan saya memang berhasrat sambung pengajian ke peringkat universiti dalam bidang sumber manusia dan kalau boleh nak ke Universiti Malaya (UM) atau Universiti Utara Malaysia (UUM).
“Tapi buat masa sekarang kena fokus dengan SPM dulu kerana nak dapat keputusan terbaik memandang sudah buat persediaan sejak Tingkatan Tiga lagi,” katanya.
Menurutnya lagi, selain pihak universiti, ada juga beberapa individu menghantar kiriman mesej kepadanya bertanya perihal akademik.
“Memang ada yang bertanya tips macam mana saya belajar bahasa Mandarin, dan Prinsip Perakaunan, malah ada pelajar Tingkatan Tiga yang ingin tahu macam mana pilih aliran ke Tingkatan Empat.
“Jadi saya kongsi mana yang termampu kerana nak orang lain pun berjaya,” katanya