Pelajar sertai lawatan ke rumah orang tua menangis terjumpa nenek kandung sendiri
Imej memaparkan seorang pelajar perempuan menangis saat mengikuti lawatan ke rumah kebajikan orang tua Manilal Gandhi di Gujerat, India cukup mencetuskan rasa hiba.
Menurut beberapa sumber, gadis belasan tahun bernama Bhakti Panchal Trivedi itu dikatakan gagal menahan air mata kerana bertemu dengan nenek kandungnya, Damyanti Panchal di sana secara tidak sengaja.
Apabila Bhakti bertanya tentang neneknya, ibu bapanya didakwa sering memberi alasan bahawa Damyanti sedang tinggal dengan saudara lain.
Bhakti benar-benar tidak menyangka rupanya neneknya diletakkan di rumah kebajikan orang tua.
Sewaktu menyedari kelibat masing-masing, mereka berdua mula berlari ke arah masing-masing dan menangis tak ubah seperti adegan jejak kasih.
Bagaimanapun setelah gambar itu tular dan mengundang kecaman terhadap anak-anak Damyanti, keluar pula versi cerita yang lain.
Dalam sebuah temubual ekslusif, Damyanti berkata keberadaannya di rumah kebajikan itu adalah atas kerelaannya sendiri dan bukan kerana dibuang oleh keluarga.
Dia menyifatkan anak-anaknya tidak seharusnya disalahkan. Tujuannya tinggal di sana juga demi untuk fokus kepada perihal keagamaan.
Bhakti kemudiannya menjelaskan bahawa dia sudah tahu neneknya memang tinggal di rumah kebajikan, cuma tidak tahu lokasi tepatnya.
Dengan pelbagai versi cerita berbeza, Kalpit Bhachech selaku wartawan asal yang menangkap gambar 2 beranak itu tampil memberikan pendapatnya.
Dengan cukup halus, petugas media ini berkata gambar tersebut sebenarnya memberikan gambaran cukup jelas tentang apa yang berlaku ketika itu.
Namun sudah bertahun-tahun berlalu, mungkin masalah kekeluargaan mereka sudah pun selesai.
“Orang pun faham bahawa gambar tersebut sedang ‘membicarakan’ sesuatu” – Kalpit