Apa punca pelabur asing berebut nak masuk Forest City?

Apa punca pelabur asing berebut nak masuk Forest City?

 

Apa punca pelabur asing berebut nak masuk Forest City?

Forest City, projek mega yang dikenali sebagai “Flagship G,” terus mencuri tumpuan sebagai destinasi utama pelaburan antarabangsa apabila 11 syarikat telah menyatakan minat untuk membuka operasi di sini.

Tambahan pula, Forest City kini secara rasmi dimasukkan ke dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), menjadikan kawasan ini nadi pertumbuhan ekonomi di Johor dan Malaysia.

Menurut laporan NST, Timbalan Presiden Country Garden Pacificview Sdn Bhd, Syarul Izam Sarifudin, berkata Forest City terus menerima perhatian daripada pelabur tempatan dan antarabangsa.

“Kami telah menyaksikan minat yang semakin meningkat terhadap Forest City. Sebagai pemaju projek, kami komited untuk memastikan pelaksanaan rancangan ini berjalan lancar,” kata Syarul Izam.

Beliau juga menambah bahawa pengumuman mengenai Forest City Special Financial Zone (FC-SFZ), zon bebas cukai, dan JS-SEZ dijangka dapat menjadikan kawasan ini sebagai tumpuan pertumbuhan ekonomi.

Forest City akan melancarkan pratempahan untuk fasa pertama unit komersial di Cerulean Bay pada 18 Januari ini.

Unit-unit ini adalah gabungan pejabat dan ruang kedai dengan konsep Small Office Flexible Office (SOFO) yang direka khas untuk memenuhi keperluan pelabur.

Pada hari yang sama, seminar bertemakan pejabat keluarga tunggal tanpa cukai di Malaysia juga akan diadakan, bertujuan menarik perhatian pelabur antarabangsa dan memberikan pemahaman mendalam tentang peluang unik ini.

Forest City bukan sahaja menawarkan peluang pelaburan, tetapi juga kemudahan infrastruktur yang mengukuhkan lagi daya tarikannya.

Dengan pelbagai kemudahan termasuk pelabuhan, kawasan industri, dan akses mudah ke Singapura, Forest City dijangka menjadi destinasi pilihan untuk pelabur dan pelancong.

Tambahan pula, Forest City bakal memperkenalkan perkhidmatan bas hujung minggu dan ke Kuala Lumpur melalui kerjasama dengan Causeway Link, selepas kejayaan pelancaran laluan bas Malaysia-Singapore Second Link.

Forest City turut merancang untuk menaik taraf laluan basikal di pulau tersebut serta rangkaian pengangkutan yang menghubungkan kawasan komersial sekitar, diselaraskan dengan sistem transit awam Johor Bahru.

“Pada masa depan, Gelang Patah akan menjadi destinasi utama dengan pelbagai kemudahan yang tersedia. Ini termasuk akses ke kawasan industri, pelabuhan, dan juga fasiliti rekreasi,” kata Syarul Izam.