“Lebih 24 jam baru tersedar” – Pekerja kedai kosmetik dakwa dipukau, serah barangan kemas kepada seorang wanita
“Lebih 24 jam baru tersedar” – Pekerja kedai kosmetik dakwa dipukau, serah barangan kemas kepada seorang wanita.
Tular di media sosial satu video memaparkan kejadian melibatkan seorang pekerja di sebuah kedai kosmetik didakwa dipukau.
Kisah pekerja itu diceritakan semula oleh majikannya, Sabrieyna Ina menerusi sesi siaran langsung di TikTok selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dikongsi mendapat perhatian ramai.
Ina mendakwa, wanita berbaju biru seperti dapat dilihat dalam rakaman CCTV itu masuk ke premis miliknya pada Khamis, menggunakan helah kononnya mahu membeli minyak wangi dalam kuantiti banyak.
“Pekerja ni baru lagi mula bekerja dengan saya. Masa tu saya keluar pergi ambil barang. Jadi pekerja saya tinggal seorang dalam kedai. Tak tahu dia sudah aim (target) lama ke pekerja tu.
“Pekerja saya beritahu yang dia (pelaku) tu tauke sebuah kedai emas. Dia tipu rupanya. Tapi saya tengok memang dia (pekerja) seronok berborak dengan pelanggan tu.
“Mula-mula dia cerita fasal nak beli perfume 200 unit untuk buat goodies bag. Siap tunjuk duit dia dalam bag ada RM3,000,” ujarnya.
Jelas pemilik gerai kosmetik di Kuantan, Pahang, itu, selepas lebih 24 jam baru pekerjanya tersedar bahawa dia telah kehilangan emas anggaran bernilai RM4,000 dan mendakwa dirinya dipukau pelanggan berkenaan.
Dia mendakwa tiga barang kemas miliknya telah dibawa lari oleh pelaku.
Berdasarkan pemeriksaan rakaman CCTV, pekerja itu dilihat tidak melawan dan membiarkan gelangnya dicabut serta melepaskan rantai dari lehernya sendiri untuk diberikan kepada wanita terbabit.
“Memang tak sedar dia ambil rantai, cincin dan gelang emas. Selepas dapat barang kemas, dia kata nak pergi bank sekejap. Nak cucuk (keluarkan) duit.
“Tahu-tahu orang tu sudah beredar. Berhati-hati la warga Kuantan atau di negeri mana sahaja anda berada. Benda ni betul-betul jahat.
“Orang bermati-matian kerja. Dia nak dapat duit mudah, guna ilmu hitam je,” ujarnya menerusi kapsyen pada video.
Sebagaimana dijelaskan Ina menerusi siaran langsung itu, laporan polis sudah dibuat oleh pekerjanya.
@butiksabrieynaina Kes pukau dekat kedai kosmetik jaya gading , sebelom ni dengar orang cerita je ni terjadi kat diri sendiri . Memula die kata nak beli perfume untuk buat goodies bag. Siap tunjuk duit die dalam bag ada 3k. Staff kata die rasa seronok je bila borak dengan orang ni ! Memang tak sedar die ambik rantai , cincin dan gelang. Lepas dapat brg kemas die kata nak pergi bank kejap nak cucuk duit . Tahu orang tu dah blar dah, berhati2 lah warga kuantan atau dinegeri mane saja korang berada . Benda ni bentul jahat , orang bermatian2 kerja die nak dpt duit mudah guna ilmu hitam je
Rata-rata warga maya turut bersimpati dengan nasib pekerja itu jika benar dia menjadi mangsa pukau sehingga mengalami kerugian besar.
Malah sesetengah netizen turut memberikan beberapa tip atau petua yang biasa diamalkan bagi mengelakkan menjadi mangsa pukau di ruangan komen.
“Isteri saya dulu pakai seluar dalam terbalik sebab tak nak kena pukau.
“Setiap kali lepas solat, baca ayat Kursi. Nak keluar rumah baca surah Yassin ayat 9.
“Ini kalau pergi balai polis pun pening sebab CCTV bukti dia serah sendiri barang tu dekat orang lain. Tapi bila melibatkan ilmu hitam… tak tahu la polis ambil tindakan macam mana,” kata netizen.
Selepas perkongsian itu meraih lebih 1 juta jumlah tontonan di TikTok, Ina membuat hantaran baharu pada Sabtu.
“Terima kasih yang sudah kongsi petua untuk elak pukau. Sampai sekarang saya rasa takut selepas kejadian ni.
“Pekerja saya bila sedar (kena pukau), dia menangis wey. Barang kemas mak dia bagi habis tak ada,” katanya dalam video berkenaan.
Sementara itu, polis pada Sabtu mengesahkan menerima laporan mengenai pembantu jualan sebuah kedai kosmetik Jaya Gading, Kuantan, Pahang mengalami kerugian selepas barang kemas miliknya dicuri seorang wanita dalam kejadian pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata ketika remaja perempuan berusia 18 tahun itu berada di dalam kedai pada pukul 4 petang, dia didatangi seorang wanita.
Jelasnya, suspek berpura-pura bertanyakan barangan kosmetik yang dijual sebelum berbual mengenai barang kemas yang dipakai mangsa.
“Tanpa disedari mangsa menyerahkan barang kemas, masing-masing seutas gelang dan rantai serta sebentuk cincin yang dianggarkan bernilai RM4,000.
“Mangsa yang baru bekerja kira-kira dua minggu hanya menyedari barang kemas hilang selepas suspek keluar dari kedai itu dan siasatan awal mendapati mangsa tidak pernah melihat suspek,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Zahari, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Katanya, polis kini mengesan suspek yang berumur dalam lingkungan 40-an dan turut menyiasat rakaman sistem CCTV di kawasan sekitar.