Pekerja ada SPM perlu dibayar gaji lebih RM1,700

Pekerja ada SPM perlu dibayar gaji lebih RM1,700

 

Pekerja ada SPM perlu dibayar gaji lebih RM1,700

Pekerja yang memiliki kelayakan akademik sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kemahiran perlu dibayar melebihi kadar gaji minimum.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, pekerja berkenaan tidak sepatutnya dikategorikan dalam kumpulan gaji minimum, kerana akan merendahkan nilai pendidikan dan menjejaskan motivasi tenaga kerja muda untuk meningkatkan kemahiran mereka.

Sehubungan itu katanya, MTUC menggesa kerajaan untuk memperkenalkan dasar gaji bermaruah yang mengiktiraf tahap pendidikan dan kemahiran dalam penetapan struktur gaji.

“MTUC ingin menegaskan bahawa gaji minimum bukanlah kadar gaji yang sesuai untuk semua golongan pekerja, sebaliknya ia adalah jaringan keselamatan bagi mereka yang tidak mempunyai tahap pendidikan atau kemahiran khusus.

“Oleh itu, kenaikan gaji minimum tidak boleh dianggap sebagai penetapan gaji yang wajar bagi mereka yang memiliki kelayakan akademik atau kemahiran teknikal.

“Majikan juga perlu memainkan peranan dalam menyediakan skala gaji yang adil dan kompetitif bagi memastikan pekerja diberi ganjaran sewajarnya mengikut kelayakan mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau menambah, pekerja yang mempunyai kelayakan akademik SPM seharusnya mempunyai kadar gaji lebih tinggi daripada gaji minimum, manakala bagi sijil kemahiran dan diploma, gaji perlu lebih setimpal dengan kemahiran teknikal dan profesional.

“Bagi pekerja yang mempunyai ijazah sarjana muda dan bidang kejuruteraan mereka wajar menerima gaji yang jauh lebih tinggi bagi mengiktiraf tahap kepakaran dan sumbangan kepada industri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengalu-alukan pengumuman oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mengenai pelaksanaan Perintah Gaji Minimum 2024 yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025, dengan kadar RM1,700 sebulan bagi majikan yang menggaji lima pekerja atau lebih.

Bagaimanapun tegas beliau, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) perlu mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan bagi memastikan semua majikan mematuhi kadar gaji minimum yang ditetapkan.

“Tanpa penguatkuasaan yang tegas, ramai pekerja berisiko tidak menikmati gaji minimum baharu ini, sekali gus melemahkan objektif dasar tersebut.

“Undang-undang tanpa penguatkuasaan hanya akan menjadi dokumen tanpa nilai, membuka ruang kepada majikan yang tidak bertanggungjawab untuk terus mengeksploitasi pekerja dengan membayar gaji di bawah kadar minimum,” katanya.