Peguam kongsi kisah tanda curang muncul tanpa sengaja, rupanya ramai isteri tak periksa pun telefon suami
Peguam kongsi kisah tanda curang muncul tanpa sengaja, rupanya ramai isteri tak periksa pun telefon suami.
Bergelar peguam syarie, pastinya pelbagai ragam dan kisah rumah tangga klien yang dikendalikan mereka.
Menerusi satu hantaran di laman sosial, seorang peguam syarie berkongsi kisah beberapa kliennya yang memfailkan kes di mahkamah syariah mengenai kecurangan suami masing-masing.
Menurutnya, boleh dikatakan kesemua kes mempunyai persamaan iaitu kecurangan si suami terbongkar apabila mendapat petunjuk secara tidak sengaja.
“Kebanyakan klien tak periksa pun telefon suami sebenarnya. Tapi bukti macam tiba-tiba terbentang depan mata dia.
“Contohnya anak tengah pegang telefon suami, tiba-tiba masuk WhatsApp aneh atau tengah memandu, telefon suami dekat dashboard tengah Waze jalan tiba-tiba keluar call.
“Nama contact number yang save tu mencurigakan. Lepas tu Allah pun bagi hati isteri terdetik lain macam. Daripada situ isteri nampak satu-satu bukti tanpa dicari,” tulisnya dalam hantaran tersebut.
Dia turut menceritakan satu kes kliennya yang mana si suami licik memadamkan bukti bagi mengelakkan perbuatannya dihidu isteri, namun rancangannya gagal.
“Ada satu kes, suami padam semua mesej dan call history. Isteri periksa tak ada apa yang mencurigakan tapi terdetik hati nak tengok Direct Message (DM) di Instagram sebab nak tengok emel.
“Kemudian keluarlah semua bukti yang tak tahu pun sebenarnya ada… cuma nak tengok je.
“Bila buat sesuatu yang salah, Allah sendiri akan tunjukkan. Kebanyakan klien sama keadaan mereka. Bukti itu akan hadir sendiri tanpa dicari sebenarnya,” kongsinya lagi.
Hantaran peguam berkenaan mengundang perhatian warga maya dengan rata-ratanya turut senada dengan pandangan yang dikongsikan.
Malah, segelintir mereka turut berkongsi kisah kecurangan suami masing-masing yang juga ‘kantoi’ tanpa sengaja.
“Macam kawan saya, lepas bersalin, ambil telefon suami tengok Instagram laki dia post gambar anak. Mesej masuk, dia buka… kemain kau dengan betina office nak tengok wayang. Galak berborak gatal.
“Saya yang kerja IT ni pun tak ada masa nak hack telefon suami. Sekali tengah malam nak cas telefon suami, elok pula dia tak tutup skrin. Elok pula skandal dia mesej. Allah nak tunjuk kejap je.
“Macam mak saya, bukan jenis periksa telefon tapi saya sebagai anak tergerak hati nak periksa telefon ayah. Jumpa mesej dia ajak perempuan lain kahwin. Forward dekat mak. Tahu-tahu esok bapa saya ceraikan mak,” demikian antara komen netizen.