Peguam ini jelaskan makna ‘lepas tanpa bebas’ dan ‘lepas dan bebas’

Sedikit info pada makna “lepas tanpa bebas” dan “lepas dan bebas”.
Sebab saya baca komen, ada yang kata berita lama dan dinaikkan semula. Mungkin kurang jelas dengan terma undang-undang.
Pada September 2022, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepas tanpa bebas Datuk Sri Abdul Azeez Abdul Rahim dari 3 pertuduhan rasuah dan 6 pertuduhan pengubahan wang haram berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah – link laporan oleh Astro Awani di ruang komen (bawah).
Ini kerana DS Azeez ada mengemukakan surat representasi. Apa maksud surat representasi? Iaitu surat dari tertuduh (DS Azeez) melalui peguamnya untuk menyatakan alasan-alasan mengapa pertuduhan tidak diteruskan atau dipinda kepada Seksyen lain yang biasanya hukumannya lebih rendah (tertakluk kepada permohonan tertuduh, berbeza mengikut kes).
Biasanya surat representasi dibuat atas sebab perbuatan yang dikatakan tidak memenuhi elemen undang-undang.
Ada keadaan surat representasi ditolak oleh pendakwaraya dan perbicaraan akan diteruskan di mahkamah. Ada keadaan pendakwaraya akan menerima surat representasi dan sama ada tidak meneruskan dakwaan atau meminda. Ada keadaan surat representasi diterima, dipertimbangkan dan disiasat.
Jadi dalam kes DS Azeez tempoh hari, setakat September 2022, pendakwaan menerima dan mempertimbangkan representasi untuk disiasat lebih lanjut sama ada hendak diteruskan dakwaan atau tidak.
Pendakwaan ada kuasa untuk menghentikan dakwaan pada mana-mana peringkat di mahkamah selaras dengan Seksyen 254 Kanun Acara Jenayah.
Oleh itu, DS Azeez dibebaskan tanpa dilepaskan bermakna jika didapati terdapat elemen jenayah dakwaan, maka kes akan diteruskan di mahkamah.
Seterusnya, hari ini ditetapkan prosiding di Mahkamah Tinggi bagi permohonan notis usul yang dikemukakan peguam bela DS Azeez dibebaskan terus daripada semua pertuduhan.
Hari ini, pendakwaan tidak mengemukakan sebarang bantahan terhadap permohonan peguambela agar DS Azeez dilepaskan dan dibebaskan dari semua pertuduhan.
Saya petik kata-kata hakim dari laporan Berita Harian “Oleh kerana tiada bantahan daripada pendakwaan, notis usul ini dibenarkan dan pemohon dengan ini dilepas dan dibebaskan daripada semua tuduhan,” kata hakim.
Kesan dilepaskan dan dibebaskan bermakna tiada lagi dakwaan yang sama terhadap 9 pertuduhan ini. Bermakna segala dakwaan rasuah dan penyelewengan wang tidak boleh ditimbulkan atau diwujudkan lagi terhadap DS Azeez bagi 9 pertuduhan ini. Itulah maksudnya dilepaskan dan dibebaskan.
Oleh Nor Zabetha.