Pegawai kadet UPNM tekap seterika mungkin diberhentikan pengajian, bayar balik biasiswa

Pegawai kadet UPNM tekap seterika mungkin diberhentikan pengajian, bayar balik biasiswa

 

Pegawai kadet UPNM tekap seterika mungkin diberhentikan pengajian, bayar balik biasiswa.

Suspek yang juga merupakan pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berkemungkinan akan ditamatkan pengajiannya susulan kes seorang pelajar junior yang ditekap seterika.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, nasib penuntut UPNM itu akan ditentukan menerusi pihak Lembaga Siasatan pada hari ini.

Selain diberhentikan pengajian, pegawai kadet terbabit juga mungkin dituntut membayar balik biasiswa pengajian yang ditawarkan kepadanya.

“Dalam perkembangan terbaharu kes ini, kita sudah lengkapkan siasatan dan sudah tentu hasil siasatannya sama dengan siasatan polis, hanya daripada segi hukuman akan ditentukan pada hari ini terhadap penuntut itu.

“Kita tidak akan berkompromi sama sekali dalam soal disiplin ini kerana soal ragging semasa orientasi itu bukan perkara baru, di mana-mana institusi pun ada, tapi tak pernah membabitkan soal kekerasan begini,” katanya.

Tegasnya, hukuman sama itu akan terpakai kepada mana-mana pegawai kadet yang didapati terbabit kes buli atau mencederakan pegawai kadet lain.

Menurut laporan, tertuduh Amirul Iskandar Ahmad Norhanizan, 22, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menekap seterika pada tubuh seorang pelatih junior.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Salman Mohd Saiful Surash, 20, menggunakan seterika wap panas pada jam 11.45 malam di ALK UPNM di Kem Sungai Besi pada 22 Oktober lalu.

Pegawai kadet itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Egusra Ali.