Pasangan bakal bertunang maut, motosikal dirempuh pemandu remaja lelaki berusia 16 tahun
Dua individu yang dipercayai merupakan pasangan bakal tunang disahkan maut selepas motosikal yang dinaiki mereka dilanggar oleh sebuah kereta yang dipandu seorang remaja lelaki berusia 16 tahun di Jambatan Pulau Pinang pada awal pagi Sabtu.
Pemandu ditahan reman
Foto: Harian Metro
Memetik laporan Berita Harian, kejadian dipercayai berlaku selepas kenderaan yang dipandu suspek melanggar belakang sebuah lori sebelum hilang kawalan dan merempuh kedua mangsa yang sedang menunggang motosikal.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Tan Cheng San, impak daripada pelanggaran tersebut telah menyebabkan dua mangsa yang merupakan seorang lelaki dan wanita maut di tempat kejadian.
Siasatan awal mendapati kemalangan jam 2.30 pagi itu berlaku apabila remaja itu yang datang dari arah Pulau menuju Perai disyaki melanggar bahagian belakang lori.
Ekoran pelanggaran itu menyebabkan kereta yang dipandu hilang kawalan sebelum melanggar motosikal yang dinaiki lelaki dan pembonceng wanita yang menyebabkan kedua-duanya mengalami cedera parah lalu meninggal dunia di lokasi kejadian.
Tambah Tan lagi, pemandu yang baru sahaja berusia 16 tahun itu mengalami cedera ringan manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mayat kedua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ) bagi proses bedah siasat manakala pemandu kereta ditahan reman bagi membantu siasatan.