Papagomo terima notis saman RM1 juta dari Asyraf Wajdi

Papagomo terima notis saman RM1 juta dari Asyraf Wajdi

 

Papagomo terima notis saman RM1 juta dari Asyraf Wajdi

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki hari ini menyerahkan notis tuntutan saman fitnah kepada Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo.

Penyerahan itu dibuat oleh pasukan guaman beliau kira-kira jam 2.15 petang di kediaman Papagomo, hari ini susulan dakwaan fitnah yang dilemparkan terhadap Asyraf berkaitan penggunaan dana Mara.

Asyraf dalam satu kenyataan di media sosial berkata, tindakan undang-undang itu diambil sebagai respon kepada tuduhan yang disifatkannya sebagai tidak berasas dan mencemarkan reputasi.

“Kalaupun tidak kisah dengan hukuman dunia, moga ada sekelumit perasaan takut pada azab Allah yang amat pedih akibat fitnah. See you in court!” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.

Notis saman itu diserahkan peguamnya kepada Wan Azri di kediamannya pada jam 2.15 petang tadi.

Setakat ini, tiada maklum balas rasmi dikeluarkan oleh Papagomo berhubung notis saman tersebut.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Papagomo menerusi satu siaran langsung di media sosial mendakwa Asyraf menyalahgunakan dana Mara bagi menaja satu majlis di Parlimen Grik, Perak.

Bagaimanapun, Asyraf menafikan dakwaan itu dan memaklumkan akan mengambil tindakan undang-undang termasuk menuntut ganti rugi sebanyak RM1 juta.